Friday, November 18, 2011

Kerajaan Negeri Edar 29,000 Unit Komputer e-Book Sejak 2009

Menteri Besar menyampaikan e-Book kepada seorang murid di salah sebuah sekolah di Kemaman baru-baru ini sambil diperhatikan Razif.

Bermula tahun 2009, kerajaan negeri Terengganu telah mengedarkan sebanyak 23,000 unit komputer e-book secara berperingkat kepada pelajar Tahun Lima di sekolah rendah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pemberian e-Book secara percuma itu seharusnya meningkatkan lagi kaedah pembacaan dan pembelajaran murid.

"Dan seharusnya e-book juga digunakan secara maksimum oleh murid-murid," katanya pada majlis penutup 'Golden English Reading Programme' di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata program sebegini diharap merapatkan hubungan masyarakat setempat selain menggalakkan orang ramai membaca.

Beliau berkata kerajaan negeri menyokong program sedemikian dan berharap ia dapat dilaksanakan lagi pada masa depan sekaligus membawa kebaikan serta manfaat kepada komuniti.

Ahmad Razif berkata ia penting kerana melalui pembacaan, masyarakat dapat memperbaiki serta meningkatkan penguasaan sesuatu bahasa, terutama bahasa Inggeris.

"Sektor pekerjaan pada masa ini, terutama swasta, amat mementingkan penggunaan dan kefasihan berbahasa Inggeris," katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pembangunan dan Sosial UMT Profesor Madya Dr Noraien Mansor berkata ia merupakan satu khidmat masyarakat dan menjadi sebahagian tanggungjawab universiti menganjurkan program sedemikian.

Seramai 60 murid Tahun Empat dan Lima Sekolah Kebangsaan Tok Jembal dipilih menyertai program itu dan mereka terdiri daripada golongan yang mempunyai penguasaan bahasa Inggeris lemah.

Mereka dibantu 24 fasilitator yang terdiri daripada penuntut UMT dan program itu dilaksanakan selama 14 minggu mulai 8 Julai hingga 4 Nov lepas.

No comments:

Post a Comment