Murid-murid gembira sambil menujukkan 5 jari sebagai simbolik mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR di SK Dusun, Hulu Terengganu, kelmarin.
Sekolah Kebangsaan Dusun di Hulu Terengganu cuma sebuah sekolah kecil dengan hanya 15muridnya menjadi calon dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang lalu.
Namun, ia mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila tujuh calon memperoleh 5A iaitu yang paling ramai pernah dicatatkan di samping memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) tertinggi di negeri ini.
Guru Besarnya, Noraini Lebai Abdul ketika ditemui semalam memberitahu, sekolah itu mencatatkan GPS 1.23 dengan peningkatan sebanyak 0.15 selain turut memperoleh minimum C 100 peratus.
Katanya, ia juga bersandarkan pencapaian lima calonnya yang mendapat 3A 1B manakala masing-masing seorang mendapat 3A 2B 1A 4B dan 1A 3B 1C.
Sekolah yang terletak kira-kira 50 kilometer dari ibu negeri ini terletak di perkampungan tradisional dengan murid-murid dari kalangan anak petani dan pencapaian terbaik sebelum ini ialah pada tahun lalu dengan tiga murid mendapat 5A.
"Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru UPSR di sini yang sangat komited ketika mengajar dan sokongan ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak-anak," katanya.
Katanya, persiapan untuk menghadapi UPSR telah dijalankan sejak awal tahun lalu manakala 40 hari sebelum peperiksaan, murid-murid 'dikuarantin' di sekolah agar guru-guru boleh memantau prestasi mereka dan memberi tumpuan khusus.
"Kita perlu berbuat demikian memandangkan rata-rata ibu bapa mereka tidak mempunyai asas pendidikan yang baik dan tidak mampu membimbing anak mereka di rumah," jelasnya.
Namun katanya, apa yang mengharukan adalah kesungguhan ibu bapa yang terserlah apabila sanggup menghantar makanan buat anak-anak malah turut menyediakan makanan buat guru-guru setiap hari.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment