Saturday, November 19, 2011

Ibu Tunggal Bimbang Keselamatan Anak

Walaupun anak lelakinya sudah dewasa, ibu tunggal Azizah Khalid tetap bimbang mengenai keselamatan anaknya itu yang tidak pulang ke rumah sejak Jun lepas.

Azizah, 48, dari Kampung Bukit Sawa di Marang, berkata beliau khuatir Adi Saiful Che Kor, 27, dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah memandangkan anak keduanya itu seorang yang "lurus bendul".

"Apa yang merisaukan kami sekeluarga adalah dia mudah mengekori orang jika seseorang itu meminta dia tolong," katanya ketika ditemui di rumahnya di Marang, semalam.

Menurut Azizah, anaknya pernah memaklumkan bahawa dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat membeli belah di Kuantan, tetapi apabila beliau mencari anaknya di bandar itu, pengurus syarikat keselamatan berkenaan memaklumkan bahawa Adi Saiful tidak pernah berkhidmat di situ.

"Selepas berita itu, saya membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payong dan mencarinya di sekitar Kuantan dan Kuala Lumpur namun gagal menjejakinya," katanya.

Azizah berkata kali terakhir Adi Saiful menghubungintya ialah pada 11 Jun ketika anaknya berada di Stadium Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Terengganu dan Kelantan.

Katanya sebulan selepas itu, beliau menghubungi anaknya melalui telefon bimbit Adi Saiful tetapi nombor telefon anaknya tiada dalam perkhidmatan.

Azizah merayu orang ramai yang mengenali anaknya supaya menghubungi beliau di talian 014-8469703 atau mana-mana balai polis.

No comments:

Post a Comment