Monday, November 21, 2011

SUKAN SEA: Malaysia Tambah Enam Emas Pada Hari Ke-10 Sukan SEA

Atlit lumba basikal negara, (dari kiri) Mohd Harif Salleh, Adiq Husainie, Amir Mustafa dan Mohd Akmal Amrun memenangi pingat emas dalam acara 400 meter akhir pada Sukan SEA 2011 di Velodrom Rawamangun, di Jakarta, semalam.

Malaysia menambah enam pingat emas pada hari ke 10 temasya, menjadikan kutipan keseluruhan 53 emas, 45 perak dan 70 gangsa sebelum Sukan SEA di Indonesia melabuhkan tirainya pada Selasa.

Pingat emas itu diraih dari acara wushu (2), tenpin boling (1) dan berbasikal trek (1) yang dipertandingkan di sini dan renang berirama (2) yang dijalankan di Palembang.

Muhamad Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli, Mohamad Akmal Amin dan Mohd Harif Salleh turut menyumbang satu emas menerusi acara 4,000m kejar mengejar berpasukan dalam acara berbasikal.

Tuan rumah Indonesia hari ini secara rasmi bergelar Juara Keseluruhan temasya edisi ke-26 selepas mengumpul 150 emas, 125 perak dan 116 gangsa dan jumlah kutipan emas ini tidak mampu digugat oleh juara bertahan dari edisi lepas, Thailand yang berada di tangga kedua.

Keseluruhannya 542 pingat emas ditawarkan di sepanjang temasya ini untuk rebutan 11 kontinjen.

Thailand mengutip 95 emas, 81 perak dan 105 gangsa dan diikuti oleh Vietnam di tangga ke tiga dengan 84 emas, 83 perak dan 89 gangsa.

Malaysia, yang telah pun melepasi sasaran maksimum 45 emas semalam, terus kekal di tangga keempat dengan mengumpul 53 emas, 45 perak dan 70 gangsa, diikuti Singapura (41, 43, 71), Filipina (25, 47, 67), Myanmar (11, 23, 27), Laos (8, 6, 35), Kemboja (3, 11, 20), Timor Leste (1, 1, 4) dan Brunei (0, 2, 7).

Hari ini, hari ke-11 temasya, sehari sebelum berakhirnya Sukan SEA di Indonesia ini, sebanyak 41 pingat emas ditawarkan.

Tinju menawarkan lima emas, bola sepak (1), bridge (1), berbasikal (7), renang sirip (5), golf (2), gimnastik (2), tenis (3), lumba bot tradisional (2), angkat berat (3) dan wushu (10).

No comments:

Post a Comment