Monday, November 21, 2011

Tiga Beranak Proses Dadah Di Hukum Mati

Tiga beranak Ooi Hooi Beng (dua kiri) anak lelakinya, Ong Heng Keat (belakang) dan anak perempuan, Ong Gaik Kee (depan) dijatuhi hukuman mati mandatori setelah didapati bersalah atas tuduhan memproses dadah oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam.

Tiga beranak termasuk seorang anak perempuan hari ini dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas didapati bersalah atas tuduhan memproses dadah di Lunas, Kulim, lima tahun lalu.

Ooi Hooi Beng, 50, anak lelakinya, Ong Heng Keat, 26, dan anak perempuan, Ong Gaik Kee, 24, kelihatan tenang sebaik Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Azman Husin, menjatuhkan hukuman itu.

Bagaimanapun, tiga lagi tertuduh, Pang Chui Kong, 47, Lim Kim Hee, 50, dan Wong Ah Ngau, 47, dilepaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa membuat persediaan dan memproses dadah jenis methamphetamine seberat 184.5 kilogram bertujuan untuk mengedarkannya.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kilang Zmas Synergy Sdn Bhd, Lot 935, Lorong Makmur 13/1, Taman Makmur, Lunas, Kulim, kira-kira jam 4 petang pada 9 Julai 2006.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(C) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Mohd Azman berkata, selepas meneliti hujah pembelaan dan keterangan pendakwaan, tertuduh kedua, keempat dan kelima berjaya menyangkal kes prima facie pihak pendakwaan.

"Ooi, Heng Keat dan Gaik Kee didapati gagal menyangkal kes prima facie pihak pendakwaan, dan pembelaan mereka adalah penafian semata-mata tanpa keterangan lanjut," katanya.

"Oleh itu mahkamah mendapati tertuduh pertama (Ong), ketiga (Heng Keat) dan keenam (Gaik Kee) bersalah kerana kes prima facie terhadap mereka adaah jelas," katanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Ketua Unit Pendakwaan negeri, Datuk Razali Che Ani.

No comments:

Post a Comment