Wednesday, November 9, 2011

Terengganu Sasar Pelajar Cemerlang Berganda

Sebahagian pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM gembira dan bersemangat menunjukkan sijil pada Majlis Menteri Besar Terengganu Bersama-sama Pelajar Terbilang/Sasaran SPM dan STPM 2011 di Wisma Darul Iman, semalam .

Jumlah pelajar yang mencatatkan kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) penghujung tahun ini disasarkan meningkat berkali ganda.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan keputusan luar jangkaan dalam peperiksaan percubaan SPM dan STPM baru-baru ini.

Katanya, dalam peperiksaan percubaan yang lalu, seramai 2,000 pelajar berpotensi untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sebenar tahun ini.

"Sebahagian besar daripada pelajar ini dapat 'straight A' dalam peperiksaan percubaan yang lalu dan jumlah ini sebenarnya besar berbanding tahun lepas.

"Tahun lepas, kita sasar 169 pelajar dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sebenar setelah mereka cemerlang dalam percubaan. Tapi, dalam peperiksaan sebenar pula, ia mencatatkan 405 pelajar,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Bersama-sama Pelajar Terbilang/Sasaran SPM dan STPM di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran negeri, Razali Daud.

Pada majlis itu, para pelajar yang menerima sijil penghargaan atas pencapaian cemerlang dalam peperiksaan percubaan turut melafazkan ikrar mereka untuk memastikan kejayaan.

Ia sebagai rangsangan kepada mereka bagi memenuhi impian diri, keluarga dan kerajaan.

Seramai 21,522 pelajar akan menduduki SPM dan 2,823 lagi bakal menduduki STPM di negeri itu mulai 14 November ini.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment