Wednesday, November 9, 2011

Zabidi Akur Tiada Dalam Pecut 100m Sukan SEA XXVII

Atlet pecut Terengganu, Zabidi Ghazali akur dengan keputusan Jawatankuasa Pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang tidak menyenaraikan namanya dalam acara pecut 100 meter lelaki di Sukan SEA XXVI Indonesia meskipun dianggap layak berada dalam kategori B.

Berdasarkan rekod, Zabidi mempunyai catatan masa 10.61 saat lebih baik daripada rakannya Ambrose Jilon 10.69s yang terpilih untuk beraksi dalam acara pecut 100m bersama Mohd. Noor Imran A. Hadi di Sukan SEA 2011.

Sebaliknya, atlet tersebut sekadar dipilih untuk beraksi dalam acara 4x100 meter bersama Ambrose, Mohd. Noor Imran dan Mohd. Azhar Mohd. Ismail di temasya dwi tahunan itu.

Katanya, perkara tersebut tidak sewajarnya berlaku dan berharap ia tidak berulang kembali pada masa akan datang.

"Saya memang berharap dapat beraksi dalam acara pecut tetapi tidak terpilih walaupun berada di kedudukan kedua terpantas selepas Mohd. Noor Imran.

"Saya juga berharap pada masa akan datang saya mampu mewakili negara dalam acara kegemaran saya iaitu pecut 100m," katanya kepada pemberita selepas taklimat akhir kontinjen olahraga di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pada itu, Zabidi tetap akan memberikan persembahan terbaiknya dalam acara 4x100m meskipun tidak terpilih dalam acara pecut.

"Ini adalah penampilan pertama saya dalam Sukan SEA dan tentunya saya mahu melakukan terbaik buat diri saya dan negara," kata Zabidi.

No comments:

Post a Comment