Monday, November 28, 2011

TSG Ucap Terima Kasih Kepada Anuar Manan

Pasukan lumba basikal profesional Terengganu, Terengganu Cycling Team (TSG) akan kehilangan pelumba sensasi Anuar Manan musim 2012 ini.

Pengurus pasukan, Ahmad Kamarul Idrus berkata, pelumba yang berasal dari Kampung Kuala Ibai itu akan menyertai pasukan divisyen dua, Champion System di Hong Kong.

Beliau berkata, Anuar akan meninggalkan TSG atau pasukan divisyen tiga untuk mengembangkan bakat dan juga mengharumkan nama negeri dan negara dalam sukan berbasikal.

''TSG mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Anuar kerana banyak membantu menaikkan nama Terengganu di peringkat Asia semasa bersama-sama pasukan itu,'' katanya.

Bagaimanapun, kata Ahmad Kamarul, kehilangan Anuar tidak banyak menjejaskan pasukan TSG yang akan menghadapi banyak kejohanan yang lebih mencabar pada masa akan datang.

Menurut Ahmad Kamarul, TSG masih lagi mempunyai ramai pelumba setaraf dengan Anuar seperti pemenang dua pingat emas pada Sukan SEA XXVI Indonesia, Haris Salleh.

Beliau berkata, TSG tidak kecewa dengan pemergian Anuar, sebaliknya berbangga kerana beliaulah satu-satunya anak Terengganu yang akan menyertai perlumbaan di Eropah.

Katanya, TSG yang diwujudkan kerajaan negeri, sekarang ini mempunyai sembilan pelumba tempatan dan empat pelumba import masing-masing dua dari Korea Selatan dan Jepun.

No comments:

Post a Comment