Hampir 1,000 orang berkumpul di pekarangan Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini malam tadi, bagi melihat fenomena gerhana bulan penuh.
Bagaimanapun fenomena cakerawala itu tidak dapat disaksikan dengan jelas kerana langit diselubungi awan, namun ia tidak mengecewakan mereka.
Mereka yang datang juga tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama dalam program yang dijalankan mulai lewat petang hasil kerjasama Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) serta Jabatan Mufti.
Bagi memudahkan orang ramai yang ingin menyaksikan sendiri fenomena itu, pihak penganjur telah menyediakan empat teleskop serta beberapa peralatan khas untuk tujuan tersebut.
Seorang penjawat awam yang ditemui, Mohd. Iskandar Jaafar, 30, berkata, program tersebut merupakan landasan terbaik untuk orang ramai, terutama umat Islam memahami, menyaksikan sendiri keindahan dan keajaiban alam semesta ciptaan Allah.
"Dengan adanya aktiviti seperti itu, masyarakat dapat melihat dengan lebih dekat kejadian siang dan malam melalui pencerapan gerhana bulan menggunakan peralatan khas seperti teleskop, stellarium dan sebagainya," katanya.
Pengarah PSKT, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, pihaknya mengambil pendekatan menganjurkan program berkenaan untuk memberi peluang kepada orang ramai mendekati ilmu astronomi serta mengagumi kebesaran Allah.
"Ini kali kedua kita menganjurkan program seperti ini sejak Julai lalu bagi memberi pendedahan secara meluas mengenai ilmu astronomi dan falak kepada masyarakat setempat khususnya kepada pelajar.
"Pada masa yang sama kita turut mengadakan ceramah astronomi, solat berjemaah gerhana bulan, aktiviti pencerapan gerhana, tayangan simulasi menggunakan alat stellarium dan sebagainya," katanya.
Kejadian fenomena gerhana bulan penuh itu turut dapat dilihat di beberapa negara, termasuk Thailand, Indonesia, Australia, China dan fenomena itu akan dapat dilihat semula pada 10 Oktober 2014 serta 4 April 2015.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment