Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melihat isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor memotong kek sambutan hari jadinya selepas beliau merasmikan Expo Permata di Pusat konvensyen Kuala Lumpur pada 10 Dis 2011.
Penganjuran Ekspo Permata 2011 yang bermula kelmarin mampu memberi pemahaman sebenar mengenai program itu sekali gus menangkis segala khabar angin yang tidak benar dan fitnah terhadap program tersebut.
Penaung Program Permata Negara (Permata), Datin Seri Rosmah Mansor berkata, melalui ekspo tersebut para pengunjung akan memperoleh pelbagai maklumat mengenai program-program Permata yang terdiri daripada Permata Negara, Permata Insan, Permata Pintar, Permata Seni dan Remaja Perkasa.
Selain itu beliau berkata, ekspo itu juga boleh menjadi medan untuk mencetuskan idea-idea baru yang boleh dibincang dan dikongsi bagi memperkukuhkan lagi pengisian program Permata.
“Adalah menjadi harapan saya agar penganjuran ekspo ini dijadikan wadah oleh kelima-lima komponen Permata untuk berkongsi maklumat dengan pengunjung.
“Ia akan memberi pemahaman sebenar mengenai program Permata dan menangkis segala khabar angin yang tidak benar dan fitnah mengenai program ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Ekspo Permata 2011 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur, kelmarin.
Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Penganjuran ekspo tersebut akan berakhir hari ini (12 Disember 2011).
No comments:
Post a Comment