Friday, December 9, 2011

2 Pengedar Dadah Dikehendaki Berjaya di Berkas


Dua pe­ngedar dadah yang dikehendaki polis akhirnya terjerat apabila berjaya dicekup bersama 25 penagih setelah polis menyerbu port penagi­han dadah di tepi Jalan Mak Lagam, dekat Bandar Cheneh Baru, di Kemaman, Selasa lalu.

Biarpun kedua-dua lelaki berusia 31 dan 29 tahun yang berasal dari Felda Neram 2 itu licik, namun polis lebih cekap malah sebanyak 13 paket heroin dianggarkan bernilai RM1,950 turut dirampas bersama kedua-dua suspek.

Sembilan paket heroin seberat 20 gram bernilai RM1,350 ditemui pada lelaki berusia 31 tahun dan empat paket heroin seberat 9 gram bernilai RM600 pula dirampas daripada lelaki berusia 29 tahun.

Dengan serbuan itu, polis juga berjaya merampas 20 motosikal pelbagai jenis termasuk sebuah daripadanya merupakan motosikal curi yang dilaporkan hilang di Kuantan, Pahang beberapa hari sebelumnya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah berkata, penagih dadah yang ditahan pula berusia antara 18 hingga 50 tahun.

Menurutnya, operasi yang berakhir jam 12 tengah hari itu dilakukan polis Bahagian Jenayah Narkotik Daerah dengan kerjasama enam anggota dari Balai Bandar Cheneh Baru selepas pihaknya melakukan intipan selalam sebulan yang lalu.

“Sebaik mendapat maklumat daripada penduduk polis menjalankan risikan sebelum memasuki kawasan berkenaan yang dipercayai baru dua bulan dijadikan tempat penagihan membabitkan anak dan peneroka di kawasan itu.

“Dengan tertangkapnya pengedar dan penagih ini, ia dapat mengurangkan kes dadah di kawasan Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru dan Felda Cerul,” katanya.

Katanya, dalam operasi tersebut polis juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang menggunakan motosikal jenis Modenas Kriss dipercayai dicuri di Kuantan selain dua penagih yang ditangkap berusia 25 dan 26 tahun dari Felda Cherul turut didapati terbabit dalam jenayah curi besi.

Semua penagih dan penge­dar terbabit ditahan secara berperingkat sebaik mereka memasuki kawasan berkenaan pada waktu siang untuk melepaskan ketagihan dadah.

“Polis akan memerangi kegiatan dadah habis-habisan terutama dikawasan penempatan Felda yang membabitkan remaja dan peneroka,” katanya.

Hamzah berkata, pe­ngedar berumur 31 tahun yang ditangkap disiasat me­ngikut Seksyen 39(b)Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lelaki yang berusia 29 tahun disiasat mengikut Seksyen 39(A)(2) akta sama.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment