Tuesday, December 27, 2011
4 Nelayan Pukat Tunda Nyaris Maut, Bot Dipukul Ombak
Empat nelayan pukat tunda nyaris maut apabila bot mereka dipukul ombak besar sebelum mereka dihanyutkan dalam kejadian petang kelmarin.
Keempat-empat mangsa warga Thailand itu adalah tekong bot dikenal sebagai Chuan, 39 dan tiga awak-awak Ichom, 42, Napayong, 29 dan Sakhom, 44, dilaporkan keluar ke laut dari Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut kira-kira jam 5.30 petang.
Bagaimanapun apabila tiba di satu batu nautika melepasi muara Kuala Besut, bot tersebut terlanggar benting pasir menyebabkan bot terbalik kemudian dipukul ombak besar kira-kira jam 5.45 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Noor Zainy Mohd Nor berkata, akibat kejadian itu semua mangsa tercampak ke laut dalam keadaan laut bergelora.
Bagaimanapun kata Noor Zainy, masing-masing sempat berpaut kepada pelambung dan mereka kemudiannya dihanyutkan ke kawasan pantai Kampung Pengkalan Atap serta pantai sekitar Kuala Besut tidak jauh dari tempat kejadian.
“Semua mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dan keterangan mereka diambil sebelum diserahkan kepada majikan,” katanya.
Noor Zainy berkata, bot nelayan tersebut milik sebuah syarikat yang berpejabat di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.
Sementara itu menurut pengurus syarikat, Mohd Tajuddin Salleh berkata, kejadiaan dipercayai kerana tekong telah terlanggar beting pasir di muara tersebut menyebabkan bot pecah lalu terbalik sebelum dipukul ombak.
Katanya, bot C 0 itu kemudiannya dihanyutkan ke tepi pantai Kampung Pantai Kuala Besut dengan mengalami kerosakan teruk apabila bahagian dinding bot pecah selain stereng tercabut dan kerugian dianggarkan RM350,000.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment