Dua sahabat karib, Muhammad Nur Aiman Adam dan Muhammad Fikri Ahmad Fauzi (kiri) bersama rakan-rakan lain yang turut berkongsi kejayaan meraih 8A di SMK Lembah Bidong, Setiu, semalam.
Seramai 80 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong dekat Kuala Terengganu yang memperoleh semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan berpeluang melawat Australia dan Indonesia pada Februari depan.
SMK Lembah Bidong merupakan antara 10 sekolah terbaik PMR negeri Terengganu tahun ini dan sekolah itu menduduki tangga keempat berbanding tangga kelapan.
Peluang itu diberi sebagai hadiah atas kecemerlangan mereka dalam PMR yang diumumkan hari ini selain berkesempatan menyertai program perkongsian pintar dengan beberapa buah kolej di dua negara berkenaan.
Pengetua SMK Lembah Bidong, Sa'diah Morshidi berkata, daripada 80 pelajar berkenaan, 18 pelajar memperoleh 9A dan mereka akan melawat Perth, Australia manakala 62 lagi pelajar yang mendapat 8A akan ke Indonesia.
Beliau memberitahu, kunjungan selama seminggu itu turut diiringi beberapa orang guru sekolah berkenaan dengan mengunjungi Padburry High School dan Ocean Reef High School, kedua-duanya di Perth, Australia.
"Begitu juga dengan pelajar yang diberi peluang melawat Indonesia selama seminggu berserta guru-guru dan mereka akan ke SMP Maros, Sulawesi dan SMP N5 Bukit Tinggi di Indonesia.
"Ini merupakan kali pertama pelajar sekolah ini yang cemerlang PMR diberi peluang mengadakan lawatan ke luar negara selepas sekumpulan pelajar cemerlang SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang ke Australia, Oktober lalu," katanya kepada pemberita di sekolah berkenaan semalam.
Menurut Sa'diah, tahun ini, SMK Lembah Bidong mencatat keputusan PMR jauh lebih baik berbanding tahun lalu dengan gred purata 1.07 peratus berbanding 1.17 peratus tahun lalu di samping pencapaian 100 peratus lulus dalam semua subjek.
Malah jelasnya, tahun lalu, seramai 66 pelajar memperoleh semua A dalam PMR berbanding 80 orang pelajar tahun ini.
Mengenai lawatan pelajar ke luar negara, jelasnya, peluang itu berdasarkan peruntukan Kementerian Pelajaran untuk Sekolah Berprestasi Tinggi (SBP) pada tahun ini yang berjumlah RM700,000 sempena program pengantarabangsa.
"Untuk tahun depan, peruntukan berjumlah RM500,000 dan bagi tahun berikutnya (2013) adalah berjumlah RM300,000 dan kita juga akan beri peluang kepada pelajar yang cemerlang untuk tahun-tahun seterusnya," ujarnya.
Tambahnya, kejayaan sekolah berkenaan dalam PMR turut didorong usaha keras dan komitmen guru-guru serta pelajar termasuk keberkesanan program 'headcount' dalam menilai pelajar lemah serta pelaksanaan sistem 'guru muda'.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment