Friday, December 23, 2011

PMR - Jumlah Dapat 9A di Terengganu Meningkat, Terus Unggul

Terengganu mencatat sejarahnya tersendiri apabila sekali lagi mengungguli keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) apabila seramai 1,962 calon atau 8.95 peratus berjaya memperoleh A dalam semua mata pelajaran pada tahun ini.

Jumlah tersebut meningkat seramai 216 orang atau 1.15 peratus berbanding tahun lalu iaitu seramai 1,746 (7.81 peratus) selain pencapaian pelajar yang memperoleh minimum D dalam semua mata pelajaran, juga meningkat kepada 93 calon apabila seramai 15,127 orang (69.04 peratus) memperoleh keputusan lulus semua mata pelajaran berbanding tahun lalu seramai 15,034 orang calon (67.23 peratus).

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Hashim Mohd. Zin berkata, keputusan PMR kali ini juga menunjukkan prestasi membanggakan apabila pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) turut meningkat kepada 2.57 berbanding 2.58 pada tahun lalu dan ia mengatasi GPN Nasional iaitu 2.74.

Katanya, ia merupakan rekod pencapaian terbaik PMR dalam tempoh lima tahun selain peningkatan jumlah sekolah yang mencapai prestasi A.

"Pada tahun ini, bilangan sekolah yang mencapai prestasi A atau sekolah berpencapaian tinggi Gred Purata Sekolah (GPS) 1.00-1.80 telah meningkat kepada 26 buah sekolah berbanding 25 buah pada tahun lalu.

"Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud merupakan sekolah terbaik seluruh negeri dengan mencatatkan nilai GPS 1.03," katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan PMR 2011, di sini hari ini.

Tambah beliau, selain mencatat bilangan peningkatan sekolah berpencapaian tinggi, Terengganu juga pada tahun ini berjaya mencatat sejarah apabila 18 sekolah berjaya mencapai 100 peratus minimum D (lulus dalam semua mata pelajaran).

Ujarnya, angka itu menunjukkan satu pencapaian terbaik jika dibandingkan tahun lalu yang hanya lapan sekolah lulus 100 peratus.

"Antara sekolah itu ialah SM Sains Sultan Mahmud, SM Imtiaz Besut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam, SMK Lembah Bidong, SMK Tengku Mahmud, SM Imtiaz Kuala Berang, SM Imtiaz Dungun dan SM Imtiaz Kuala Terengganu," katanya.

Sementara itu katanya, keseluruhan pencapaian calon mengikut lokasi mengalami sedikit perubahan mengikut Nilai Gred Purata (GP) apabila pada tahun ini calon bandar menunjukkan peningkatan iaitu 2.42 berbanding tahun lalu 2.47.

"Bagaimanapun pencapaian calon luar bandar sedikit merosot apabila mencatatkan GP 2.72 berbanding 2.67 pada tahun lalu dan kita mengenalpasti pertukaran guru luar bandar ke bandar menjadi faktor utama kemerosotan pencapaian itu," jelasnya.

Bagi prestasi mata pelajaran pula, pencapaian kebanyakannya adalah membanggakan apabila sebanyak lapan daripada 13 mata pelajaran telah menunjukkan prestasi yang menggalakkan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).

Selain itu, pencapaian gred A dalam semua mata pelajaran juga meningkat apabila 10 daripada 13 mata pelajaran menunjukkan peningkatan iaitu Bahasa Arab (9.32 peratus), Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) Perdagangan dan Keusahawanan (7.99%), KHB Ekonomi Rumahtangga (4.32 peratus) dan Sains (3.15 peratus).

Dalam pada itu ujar Hashim, turut membanggakan pada tahun ini, tiga Calon Berkeperluan Khas (CBK) daripada 103 calon yang menduduki peperiksaan itu, berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan seorang pelajar autisme, Muhammad Danial Zainuddin dari SMK Agama Sheikh Abdul Malek memperoleh 9A.

No comments:

Post a Comment