Datuk Seri Ahmad Said menandatangani buku pelawat gerai pameran Kementerian Pendidikan Malaysia semalam.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said semalam disambut meriah ketika melawat beberapa gerai pameran (booth) bersempena Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.
Selain diajak bergambar oleh pekerja dan petugas di gerai pameran berkenaan, orang ramai yang melawat pameran di ruang legar tingkat bawah turut mengambil peluang bermesra dan bergambar dengan Menteri Besar Terengganu itu.
Beliau turut melayan pertanyaan beberapa pengunjung mengenai dasar pendidikan, penjagaan kesihatan serta pelancongan Terengganu.
Ahmad Said turut menjelaskan dasar dan pencapaian Terengganu dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM, selain penajaan kerajaan Terengganu untuk pelajar di institut pengajian tinggi.
Antara gerai pameran yang sempat beliau lawati petang semalam ialah Kementerian Pelajaran Malaysia, Felda, KUB serta Terengganu dan Top IT.
Menteri Besar bukan sekadar dijemput untuk meninjau pameran tetapi beliau turut diminta menguji beberapa peralatan umpamanya di ruang Al-JabbarGroup.Com.
Selain itu, beliau turut menderma untuk tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAM) ketika melawat ruang pameran Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kelmarin Menteri Besar Terengganu melawat pusat media dan mengagihkan keropok lekor Losong kepada petugas media.
No comments:
Post a Comment