Tuesday, December 13, 2011

Aktiviti Berbasikal Fixie Dicemari 'Pil Kuda'

A. Rahman Mokhtar (kiri) menyampaikan hadiah kepada Fauzi Ismail dan Ahmad Firdaus Ismail (kanan) yang memenangi acara sukan yang dianjurkan oleh AADK Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Aktiviti riadah mengayuh basikal fixie beramai-ramai dalam kalangan remaja di negeri ini dilaporkan telah dicemari dengan kegiatan pengedaran pil kuda.

Kegiatan itu dipercayai didalangi oleh pihak tertentu yang bertindak merekrut remaja berkenaan bagi tujuan mengembangkan perniagaan haram tersebut.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar yang tidak menolak kemungkinan ada pihak cuba mengambil kesempatan membekalkan dadah kepada remaja yang terlibat dalam aktiviti riadah itu kerana ia boleh menjana keuntungan cepat.

"Oleh kerana perniagaan ini boleh memberi wang mudah, mereka cuba pelbagai cara termasuk menjadikan kumpulan remaja berbasikal ini sebagai sasaran," katanya

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) negeri berkata demikian pada program Bicara Santai anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengarah AADK Terengganu, Wan A'ddenan Wan Mohd. Noor dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid.

Beliau seterusnya memohon kerjasama masyarakat terutama ibu bapa bagi membendung gejala itu daripada menjadi lebih serius.

"Kita menggalakkan aktiviti berbasikal seperti ini agar golongan remaja tidak terjerumus dalam masalah sosial seperti samseng rempit. Malangnya kegiatan ini telah dipengaruhi kegiatan pengedaran dadah," ujarnya.

Dalam pada itu, Roslan memberi jaminan pihaknya akan menjalankan siasatan mengenai perkara itu bagi memastikan ia dibendung lebih awal.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment