Thursday, December 1, 2011

Anggota Polis Antara Yang DiTahan Disyaki Rompak Kedai Emas

Polis memberkas dua suspek yang merompak sebuah kedai emas dengan bersenjatakan pistol di Wakaf Tapai di Kuala Terengganu ketika dalam kejadian Isnin lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa kelmarin mengesahkan tangkapan tersebut dan turut berkata, seorang daripada mereka adalah anggota polis.

Kedua-duanya, kini direman selama seminggu untuk siasatan lanjut.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai kes itu.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, dua lelaki yang bersenjatakan sepucuk
pistol dan tukul besi melarikan satu dulang barang kemas bernilai kira-kira RM10,000.

Kedua suspek yang memakai topi keledar yang menutup muka mereka meluru masuk ke dalam kedai itu dan seorang daripadanya mengacukan pistol ke arah pekerja di bahagian kaunter manakala seorang lagi memecahkan cermin pameran.

Terdapat enam pekerja dalam premis tersebut yang baru hendak memulakan perniagaan.

Dilaporkan, ketika hendak melarikan diri, suspek terserempak dengan pemilik kedai emas tersebut di luar premis itu dan bertindak melepaskan tembakan, namun pemilik berkenaan sempat berlindung di tepi sebuah kereta.

No comments:

Post a Comment