Khairul Fahmi Che Mat (dua dari kiri) bersama semua pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 pada majlis khas di Shah Alam, semalam.
Jurulatih baru Selangor, Irfan Bakti merangkul Anugerah Jurulatih Terbaik selepas berjaya membimbing Terengganu menjuarai Piala FA serta naib juara Piala Malaysia dan Liga Super untuk mengecewakan Norizan Bakar (Perak) dan Datuk M. Karathu (Kelantan).
Irfan diumumkan sebagai pemenang pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan di Shah Alam, semalam.
Sementara itum bukan rezeki penjaga gol kebangsaan dan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat untuk memenangi Anugerah Supermokh untuk Pemain Paling Bernilai walaupun mempamerkan persembahan hebat tahun ini.
Kecundang kepada Norshahrul Idlan Talaha, yang juga rakan sepasukannya, Khairul Fahmi atau Apek tetap tidak pulang dengan tangan kosong apabila Anugerah Penjaga Gol Terbaik menjadi penawar dukanya selepas menewaskan Farizal Marlias dan Sharbinee Allawee.
“Saya tetap gembira meraih anugerah ini (Penjaga Gol Terbaik) yang saya sifatkan sebagai satu pengiktirafan kepada pencapaian saya sepanjang musim lalu.
“Walaupun tidak memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai, itu bukan satu masalah kerana Norshahrul adalah rakan sepasukan saya dan saya juga tumpang gembira dengan kemenangannya, ” katanya.
Safiq Rahim, yang sedang menjalani latihan di Cardiff City menepati ramalan apabila muncul pemenang Pemain Tengah Terbaik, sementara Norhafiz Zamani Misbah merangkul Pertahanan Terbaik walaupun tidak banyak beraksi pada musim lalu kerana kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Bagi lain-lain anugerah, Pemain Harapan Terbaik dirangkul pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor, Persatuan Bola Sepak Selangor dianugerahkan Persatuan Bola Sepak Terbaik manakala PKNS dinobat Kelab Bola Sepak Terbaik.
Wan Zack Haikal yang mengetepikan Mohd. Fadhli Shas dan Mohd. Irfan Fazail mengakui anugerah itu tidak langsung dapat mengubati duka yang gagal memberikan persembahan baik pada dua pertemuan kelayakan pusingan akhir Olimpik baru-baru ini.
“Memang saya baru pulih daripada kecederaan tetapi saya tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan atas persembahan saya.
“Saya masih sedih kerana gagal membantu negara mencapai sebarang kemenangan dalam dua terdahulu terutama semasa kita kalah 2-3 kepada Bahrain, ” katanya.
No comments:
Post a Comment