Pelumba basikal lebuh raya negara, Anuar Manan menjalani pembedahan di bahagian paha dan tangan kanan kelmarin bagi membuang ketumbuhan yang boleh mengganggu kayuhannya.
Menurut pelumba yang berasal dari Kuala Ibai, Terengganu itu, pembedahan tersebut dilakukan selama sejam di salah sebuah hospital pakar di Kuantan dan ketumbuhan tersebut sudah lama membelenggu dirinya.
"Doktor mengambil masa selama sejam untuk melakukan pembedahan di 11 tempat pada bahagian paha dan tangan kanan saya, sebelum ini benda (ketumbuhan) kecil sahaja tetapi lama-kelamaan ia menjadi besar," katanya.
Anuar yang baru sahaja menyertai pasukan profesional-benua, Champion System dinasihatkan supaya berehat selama tiga minggu agar bahagian yang dibedah tidak terkoyak semula dan dia memilih untuk pulang berehat di negeri kelahirannya.
"Saya telah dimasukkan ke hospital tersebut pada pukul lapan pagi kelmarin (Khamis lalu) dan dibenarkan keluar pada pukul tujuh petang semalam (kelmarin). Sekarang semuanya sudah kembali kepada sedia kala cuma saya perlukan sedikit masa untuk berehat," kata pelumba berusia 25 tahun itu.
Ditanya mengenai perkembangannya bersama pasukan baru, Anuar berkata, pada 7 Januari depan dia akan ke Hong Kong bersama rakan sepasukan sebelum bergerak ke Hainan menjalani kem latihan di sana.
"Sebulan saya akan berada di sana (Hainan) bersama rakan senegara, Mohamad Adiq Husainie Othman. Siapa yang mempamerkan prestasi terbaik akan dipilih untuk menyertai perlumbaan Jelajah Qatar Februari nanti.
"Bagaimanapun sasaran saya sekarang lebih besar bukan sahaja di Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Kejohanan Berbasikal Asia 2012 tetapi Sukan Olimpik 2012 London di mana Malaysia mempunyai dua kuota ke temasya tersebut dalam acara lebuh raya," katanya.
No comments:
Post a Comment