
Bapa kepada tiga anak itu turut mengakui semasa kejadian, dia yang berada dalam dunianya sendiri berikutan penangan najis dadah yang diambilnya sebelum itu juga mendorong dia bertindak sedemikian rupa dan sanggup memeras ugut mangsa hanya kerana inginkan RM20.
Dalam masa sama, tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai pelayan kapal peranginan di sebuah pulau di negeri ini menjelaskan walaupun pendapatan bulanannya mencecah RM3,000, namun sentiasa tidak mencukupi dek kerana ketagihan dadah melampau.
Terdahulu, Mohd Hishanudin, dari Rumah Pangsa, Kampung Kolam, Kuala Terengganu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, kelmarin atas dakwaan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan mengaku salah melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap mangsa, Muhamad Ismail Al-Rashid Ramli, 18.
Tertuduh mengaku melakukan jenayah itu menggunakan sebilah pisau lipat dengan niat mangsa dapat menyerahkan RM20 di hadapan sebuah kedai kunci Jalan Masjid Sultan Zainal Abidin, di Kuala Terengganu, kira-kira jam 3.15 petang, 13 Disember lalu.
Berikutan pengakuan salah tersebut dan mendengar rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, Zainal Abidin menjatuhkan hukuman 36 bulan penjara bermula tarikh tertuduh ditangkap.
Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang pada awalnya kelihatan tenang menjawab soalan dikemukakan Zainal Abidin tidak dapat menahan sebak dan menangis teresak-esak di kandang tertuduh ketika Zainal Abidin meminta dia membayangkan masa depan anaknya sekiranya dia berterusan melakukan jenayah.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment