Wednesday, December 28, 2011

ASNB Umum Agihan 6.05 sen Seunit

PENGERUSI Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (kiri) bersama Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman menunjukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 6.05 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 di Menara PNB, semalam.

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), unit milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), semalam mengumumkan agihan pendapatan 6.05 sen seunit bagi Skim Amanah Nasional (ASN) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2011, berbanding agihan pendapatan enam sen seunit yang diumumkan tahun lepas.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan pendapatan itu membabitkan pembayaran RM92.8 juta yang akan memberi manfaat kepada 1.2 juta pemegang unit yang kini memiliki sejumlah 1.5 bilion unit ASN.

Ahmad Sarji berkata agihan pendapatan ASN dikira berdasarkan unit yang dipegang pada 31 Dis, 2011, hari terakhir tahun kewangan ASN, dan akan secara automatik dikreditkan dalam akaun pemegang unit berdasarkan nilai aset bersih ASN pada hari terakhir tahun ini.

Semua transaksi untuk ASN di ibu pejabat ASNB, pejabat-pejabat ASNB dan ejen digantung mulai 27 Dis 2011 hingga 2 Jan, 2012, bagi memudahkan pengiraan agihan pendapatan.


Ahmad Sarji juga berkata prestasi ASN pada tahun kewangan semasa secara umumnya lebih baik meskipun senario yang mencabar dalam pasaran saham serta ekonomi dunia.

"FBM KLCI mencatatkan penurunan 1.5 peratus kepada 1,496.15 mata pada 21 Dis, 2011 berbanding 1,518.91 mata yang dicatatkan pada 31 Dis, 2010," katanya pada sidang media bagi mengumumkan agihan pendapatan ASN bagi 2011.

Sehingga 23 Dis, beliau berkata ASN mencatat pendapatan kasar RM114.67 juta dan daripada jumlah itu, keuntungan daripada jualan saham menyumbang sebanyak RM58.71 juta atau 51.2 peratus.

Beliau berkata ini diikuti pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat yang menyumbang RM43.33 juta atau 37.8 peratus manakala baki sebanyak RM12.63 juta atau 11 peratus disumbangkan oleh instrumen lain.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata PNB mengharapkan suasana ekonomi yang lebih baik tahun depan supaya ia dapat menyumbang pulangan yang lebih baik kepada pemegang unit.

Beliau berkata PNB akan terus memilih saham-aham yang dapat memperkukuh portfolionya bagi membolehkannya menyediakan pulangan yang baik kepada pemegang unit.

Hamad berkata jumlah aset dalam pengurusan PNB kini bernilai RM190 bilion. Beliau juga berkata PNB merancang membuka cawangan di Amerika Syarikat tahun depan.

"Kami mahu membuka sebuah lagi pejabat di luar negara. Kami sedang mengenal pasti lokasi yang bersesuaian (di US). Kami menyasarkan tahun depan. Kami sudah mempunyai pejabat di London, Tokyo dan Singapura," katanya.

Hamad berkata Skim Amanah Rakyat (SARA) 1Malaysia, yang akan memberi manfaat kepada isi rumah berpendapatan kirang RM3,000 sebulan, dijangka dilancarkan pada pertengahan Januari.

No comments:

Post a Comment