Seorang pencuri yang terpaksa berputih mata apabila cubaannya melarikan seutas rantai leher emas di sebuah kedai emas di Pasar Pekan Batu Enam, di sini, 13 Disember lalu gagal selepas kereta miliknya tidak dapat dihidupkan, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, semalam.
Tertuduh, Ahmad Rosdi Mohamad, 35, berasal dari Kampung Pematang Rambai, Pasir Putih, Kelantan, yang turut cedera dibelasah oleh orang ramai atas perbutannya itu mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu.
Berikutan pengakuan bersalah tertuduh, Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 serta turut memerintahkan agar tertuduh dipenjarakan selama dua bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Terdahulu, tertuduh yang bekerja sebagai jurukimpal itu mengaku mencuri seutas rantai leher emas bernilai RM5,700 milik Kedai Emas Assalam di Pekan Batu Enam, kira-kira jam 2 petang, 13 Disember lalu.
Dengan itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan seterusnya, dia boleh diseksa dengan penjara dan juga dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainuddin Abd Ghani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan kes, pemilik kedai tersebut menerima panggilan daripada salah seorang pekerjanya kira-kira jam 2 petang, 13 Disember lalu memaklumkan kehadi-ran tertuduh di kedainya untuk membeli barang kemas yang bernilai RM5,000 ke atas.
Pekerja itu yang tidak mengesyaki apa-apa kemudiannya mengeluarkan seutas rantai leher seberat 31.56gram yang berharga RM5,700 dan menunjukkan kepada tertuduh.
Tertuduh kemudian bertindak merampas rantai emas itu lalu melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Saga berwarna hitam yang diletakkan berhampiran kedai itu.
Bagaimanapun, keretanya gagal dihidupkan menyebabkan dia keluar daripada kenderaan tersebut untuk melarikan diri. Namun, tertuduh akhirnya berjaya ditahan oleh orang ramai dan diserahkan kepada polis dari Balai Polis Gong Badak, di sini yang sedang menjalankan tugas ronda jenayah.
Berikutan kejadian itu, tertuduh mengalami lebam pada hidung dan calar pada bahagian kening kirinya dipercayai dibelasah orang ramai sebelum diserahkan kepada polis.
No comments:
Post a Comment