Friday, December 23, 2011

Bas Bertingkat Tidak Sesuai Untuk Perjalanan Jauh, Guna Laluan Berbukit, Berselekoh Tajam

Bas bertingkat atau 'double decker' tidak sesuai digunakan untuk perjalanan jauh dan melalui jalan berbukit serta mempunyai banyak selekoh tajam, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Katanya jalan yang berkeadaan begitu boleh mempengaruhi kestabilan bas dan menyumbang kepada kemalangan.

Bas bertingkat, kata Abdul Rahim, didapati hanya sesuai digunakan di jalan yang selesa di kawasan bandar serta lebuh raya yang selamat dan rata.

Beliau berkata bagaimanapun, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Darat di Semenanjung, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan di Sabah dan Pengawalselia Pengangkutan Awam di Sarawak berhak menentukan laluan yang boleh dibenarkan menggunakan perkhidmatan bas jenis itu.

"Kelulusan ini tertakluk setelah kenderaan tersebut mendapat piawaian keselamatan sewajarnya dari Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pemeriksaan teknikal dan keselamatan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer," katanya di Kota Kinabalu hari ini.

Mngenai tragedi kemalangan jalan raya 20 Dis lepas melibatkan sebuah bas ekspres yang mempunyai nombor pendaftaran Brunei, Abdul Rahim berkata JPJ akan menyiasat punca kemalangan dan menjadikannya panduan bagi penguatkuasaan kepada semua operator pengangkutan bas.

Insiden yang berlaku di KM 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli itu meragut tujuh nyawa warganegara Brunei yang sedang melancong di Sabah bersama 26 pelancong lain.

Abdul Rahim berkata kematian melibatkan kemalangan bas merupakan satu peratus sahaja daripada 6,872 kematian pada tahun lepas.

Beliau berharap semua operator bas, khususnya perkhidmatan jarak jauh supaya mengutamakan aspek keselamatan manakala bas yang digunakan pula sentiasa diselenggara.

Beliau juga menasihati pemandu supaya tidak mengendalikan kenderaan penumpang dalam keadaan mengantuk.

No comments:

Post a Comment