Friday, December 23, 2011

Terengganu Atasi Kelantan, Kedah Dari Segi FDI Berjumlah RM1.4b

Terengganu mendapat pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM1.4 bilion dan menduduki tempat ketujuh berbanding Kelantan yang hanya menerima RM129 juta sahaja sehingga akhir Oktober lalu.

Pahang mendahului negeri lain di Pantai Timur dengan pelaburan sebanyak RM2.9 bilion.

Daripada keseluruhan pelaburan di negara ini tahun ini iaitu sebanyak RM40.7 bilion dari awal tahun sehingga Oktober tahun ini, RM19.7 bilion atau 48.9 peratus merupakan pelaburan langsung domestik (DDI) manakala bakinya, RM21 bilion atau 51.6 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI), yang tinggi sedikit daripada DDI sehingga tempoh itu.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir, hari ini, berasaskan jumlah pelaburan itu, dan dengan berbaki tempoh dua bulan lagi, kerajaan percaya negara boleh mencatatkan angka yang sama pelaburan keseluruhan sebanyak RM47 bilion seperti tahun lepas.

Mukhriz berkata Sarawak mendahului dengan mencatatkan pelaburan tertinggi RM7.3 bilion sehingga Oktober," katanya, sambil menyatakan pelabur terbesar di Sarawak ialah syarikat tempatan, Leader Universal Aluminium (Sarawak) Sdn Bhd.

Ia diikuti oleh Selangor (RM6.8 bilion), Johor (RM6.7 bilion), Pulau Pinang (RM5.7 bilion), Negeri Sembilan (RM3.5 bilion), Pahang (RM2.9 bilion), Terengganu (RM1.4 bilion), Perak (RM966 juta), Kedah (RM765 juta), Sabah (RM720 juta), Kuala Lumpur (RM299 juta), Kelantan (RM129 juta) dan Perlis (RM23 juta).

Menurut Timbalan Menteri itu, era di mana syarikat tempatan lebih berminat melabur di pasaran seberang laut kini sudah berakhir.

"Syarikat-syarikat tempatan kita kini lebih teruja terhadap ekonomi tempatan berikutan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan juga Projek Permulaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program "Kod Etika Prinsip KL bagi EKS" di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu SME Corporation dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bekerjasama merangka Kod Etika bagi Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS), yang dikenali sebagai "Kod Etika Prinsip KL bagi EKS", yang menyokong prinsip itu bagi mengekang rasuah seperti integriti, ketelusan, kebebasan dan ketepatan.

Kod itu adalah salah satu daripada asas inisiatif mengenai Prinsip Kuala Lumpur Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang dipersetujui dan disahkan pada Mesyuarat Peringkat Menteri Apec ke-18 di AS Mei lepas.

No comments:

Post a Comment