Saturday, December 17, 2011

Bersedia Hadapi Banjir Gelombang Kedua Akhir Bulan Ini

Seorang mangsa banjir Mariam Awang, 80, dari Kampung Tasek, Mahligai Bachok gembira menerima sumbangan RM500 dari Kerajaan Pusat, kelmarin.

Kerajaan tidak berniat untuk memancing undi melalui pelbagai jenis bantuan yang disalurkan kepada orang ramai termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sedang dilaksanakan sekarang, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata bantuan yang diberikan itu semata-mata bagi menjalankan tanggungjawab kerajaan membantu golongan yang susah di samping menghargai mereka yang sentiasa menolong kerajaan dan memenuhi janji bahawa rakyat sentiasa didahulukan dalam pentadbiran kerajaan pada masa ini.

"Inilah antara jenis kebajikan yang dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat yang telah dilaksanakan sejak 50 tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk di Kampung Pengkalan Atap di Kuala Besut kelmarin.

Kampung itu dilanda ombak besar Ahad lepas.

Nazri berharap rakyat tidak mudah terpedaya dengan polemik, ucapan maupun ungkapan pembangkang yang cuba meniru pendekatan kerajaan dalam membantu mereka dengan menjanjikan slogan "negara kebajikan" sekiranya diberi mandat dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau melahirkan rasa kecewa dengan sikap pemimpin pembangkang yang menyuruh penyokong mereka menerima setiap bantuan daripada kerajaan tetapi tidak mengajar mereka supaya bersyukur dengan pemberian, apatah lagi untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.

"Kita beri tidak kira parti tetapi mereka suruh ambik apa yang Umno (kerajaan) beri tetapi bila tiba pilihan raya, undi mereka (pembangkang)," katanya.

Mengenai permintaan Pas supaya dua wakil kerajaan persekutuan menyertai Jawatankuasa Kajian Hukum Hudud, beliau berkata permintaan itu tidak perlu dilayan.

"Kalau benar perlembagaan Pas itu Al-Quran, kenapa pula nak salahkan Perlembagaan Malaysia kerana mereka sepatutnya boleh melakukannya di negeri-negeri yang mereka kuasai seperti di Kelantan dan Kedah.

"Kalau tidak mampu melakukannya, janganlah salahkan orang lain," katanya.

Nazri, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, berkata Majlis Keselamatan Negara sedang membuat penilaian tentang kerosakan yang dialami beberapa negeri ekoran banjir yang berlaku pada bulan lepas dan yang sedang berlaku sekarang.

Mengenai 41 keluarga di Kampung Pengkalan Atap, yang dilanda air pasang dan ombak besar itu, beliau berkata pertimbangan sedang dibuat bagi memastikan mereka mendapat bantuan manakala benteng ombak di situ yang runtuh akibat kejadian itu akan dibaik pulih.

Di Rantau Panjang, Kelantan, Nazri berkata bantuan bencana banjir sebanyak RM500 bagi setiap keluarga yang kini diterima rakyat Kelantan dan Terengganu tidak bersangkut paut dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia.

"Ini kena perjelaskan kepada mereka kerana kita tidak mahu mereka membuat andaian yang tidak betul mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Bencana Banjir Bagi Jajahan Pasir Mas di Sekolah Kebangsaan Seri Rantau 2 hari ini.

Lebih 700 mangsa banjir gelombang pertama di jajahan itu menerima bantuan yang kesemuanya berjumlah lebih RM300,000 itu. Sehingga kini kerajaan Pusat telah mengeluarkan peruntukan lebih RM800,000 termasuk kepada mangsa banjir di Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Nazri berkata kerajaan Kelantan telah memohon sebanyak RM10 juta kepada kerajaan Pusat bagi membina pembetungan bagi mengatasi masalah banjir di Tumpat.

Katanya beliau akan membawa perkara itu ke peringkat yang lebih tinggi agar permohonan sebanyak RM10 juta itu dapat diluluskan segera.

Sementara itu, penduduk Pantai Timur terutama di Kelantan dan Terengganu perlu bersedia menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka melanda negeri berkenaan pertengahan bulan ini.

Nazri berkata banjir gelombang kedua dijangka berlaku antara 25 hingga 28 Disember.

Katanya, mengikut ramalan Jabatan Meteorologi, dalam tempoh berkenaan, dijangka berlaku air pasang berserta hujan lebat yang menyebabkan banjir di beberapa kawasan.

"Kerajaan mengingatkan orang ramai, terutama yang tinggal di kawasan mudah dilanda banjir bersiap sedia berhadapan gelombang kedua ini. Ibu bapa diharap mengawasi keselamatan anak mereka kerana Kelantan saja mencatatkan enam kematian ketika banjir dari 22 hingga 30 November lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bantuan bencana banjir 2011 untuk jajahan Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, di Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol, semalam.

Seramai 127 keluarga mangsa banjir menerima wang ihsan banjir yang keseluruhannya bernilai RM63,500 dengan setiap keluarga menerima RM500.

Nazri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, bagi mengelak keciciran menerima bantuan banjir, kerajaan mulai tahun ini hanya memberikan kepada mereka yang berpindah dan berdaftar dengan pusat pemindahan di kawasan masing-masing.

Katanya, dulu berlaku keciciran disebabkan ada mangsa tidak berpindah, menyebabkan sukar untuk membuat tafsiran sama ada mereka memang mangsa banjir atau tidak.

Beliau juga berkata, mangsa banjir gelombang kedua nanti tidak akan diberikan wang ihsan, namun kerajaan memberi jaminan kemudahan bantuan biasa tetap diberikan setiap kali banjir melanda.

No comments:

Post a Comment