Saturday, December 17, 2011

Terengganu Contoh Program Permata Negara - Rosmah Mansor

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor mahu negeri lain mencontohi usaha dan kejayaan Terengganu dalam pelaksanaan Program Permata Negara.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri yang memberi perhatian khusus kepada program pembangunan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan Terengganu boleh dijadikan contoh dalam pelaksanaan Program Permata Negara,” katanya.

Beliau menyatakannya sempena Majlis Penyampaian Sijil Program Hafazan Muqaddam (23 Surah lazim) Kanak-kanak Taska Permata Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), di Stadium Negeri, kelmarin (15 Disember)

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib dan Pengarah YPKT,Mohd Safaruddin Mustaffa.

Datin Paduka Seri Rosmah berkata,sebagai contoh, di Terengganu terdapat 32 Taska permata yang dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri, selain 34 Taska Keluarga yang dinaiktaraf sebagai Taska Permata keluarga.

Selain itu juga, 15 Taska Permata Kemas, dua Taska Permata perpaduan, empat Taska Permata Komuniti dan dua Pusat Anak Permata Negara.Ini bermakna, jumlah keseluruhan Taska Permata di Terengganu berjumlah 89 buah,katanya.

Beliau juga berharap program hafazan muqaddam dijadikan permulaan kepada pembelajaran kitab suci al-Quran.

“Seharusnya ia juga perlu dilengkapkan dengan kefahaman mengenai aplikasi al-Quran sebagai sumber ilmu dalam pelbagai bidang sama ada yang berkaitan dengan ilmu sains, biologi, biotani, fizik, matematik atau sains kemanusiaan.

Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran adalah kalam Allah dan mengandungi ciri-ciri keajaiban yang membuktikan bahawa ianya adalah wahyu kudus dari Allah S.W.T,” katanya.

Menteri Besar pula berkata, kerajaan negeri komited dalam usaha membangunkan modal insan termasuk mewujudkan Taska Permata di seluruh Terengganu yang memerlukan kos pengurusan yang tinggi tanpa membebankan ibu bapa dengan kadar yuran yang tidak munasabah.

“Untuk itu, kita telah `menelan’ sebahagian besar daripada kos itu dan hari ini ibu bapa hanya perlu membayar RM180 bagi setiap anak berusia empat tahun ke bawah, manakala RM200 bagi setiap bayi berusia setahun ke bawah yang dihantar ke Taska Permata kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

“Jika dilihat dari segi kemudahan prasarana, kemudahan dan juga tenaga pengajar yang terlatih, kos itu jauh lebih murah berbanding taska-taska lain,” kata Menteri Besar.

Menteri Besar berkata, bukan hasrat kerajaan negeri bersaing dengan taska lain tetapi usaha itu sebagai agenda kerajaan bagi membangunkan modal insan di kalangan rakyat Terengganu, selain membuka peluang kepada rakyat berpendapatan rendah menghantar anak mereka ke taska yang bermutu tinggi.

Menurutnya, YPKT juga meninggalkan satu penanda aras yang agak tinggi untuk diteladani dan diikuti oleh semua taska kerajaan serta swasta yang lain.

Katanya, aspek tenaga pengajar menjadi suatu penanda aras yang sangat penting di Taska Permata YPKT dan terbukti dengan adanya lima orang pendidik yang memiliki kelulusan Ijazah dan Diploma, manakala lima orang pendidik berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

“Kerajaan komited membelanjakan sejumlah wang yang besar demi memastikan kita dapat menghasilkan para cendikiawan dan pelapis kepimpinan negara yang bermutu tinggi.

“Sekalung terima kasih kepada Datin Paduka Seri Rosmah sebagai pelopor kepada program Permata Negara dan juga memberikan peruntukan RM20.4 juta bagi membina 32 Taska Permata di seluruh Terengganu,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 1,012 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dari Taska Permata YPKT seluruh Terengganu berjaya menghafaz 23 surah muqaddam.

Majlis turut disusuli dengan acara penyampaian sijil hafaz muqaddam dan cenderahati, penyerahan surat perlantikan ibu angkat Taska kepada isteri Ahli Dewan Undangan Negeri serta penyerahan sumbangan kenderaan oleh TOP IT Industries dan Kumpulan Ladang Rakyat Terengganu kepada YPKT.

Teganukita

No comments:

Post a Comment