Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia, Datuk Tok Teng Sai mengalu-alukan langkah kerajaan mempermudahkan penukaran status tanah untuk tujuan pemeliharaan burung walit bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
''Banyak tanah pertanian terbiar di kampung-kampung yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk untuk mendapatkan pendapatan berterusan.
''Ia juga dapat membantu mengeluarkan mereka dari lingkaran kemiskinan dan pada masa yang sama melonjakkan ekonomi negeri apabila sarang burung benar-benar digerakkan sebagai suatu industri baru," ujarnya.
Katanya, ia boleh digerakkan melalui koperasi-koperasi kampung dengan pemilikan saham penduduk supaya boleh diuruskan secara terancang.
Di samping itu katanya, ia turut dijadikan satu lagi produk tarikan pelancong bagi negeri ini dengan mewujudkan pusat sarang burung dengan penyediaan produk-produk cenderahati, muzium dan rumah burung.
''Tidak semua ingin beli batik dan keropok lekor, mengapa tidak kita turut sediakan sarang burung kelak.
Di Korea ginseng di mana-mana baik dalam coklat malah di dalam rokok," ujarnya.
Kelmarin, kerajaan negeri menyatakan kesediaannya menimbangkan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan ternakan burung walit.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, langkah itu berikutan bidang tersebut semakin mendapat sambutan di luar jangkaan di negeri ini ekoran permintaan yang tinggi dan harga lumayan hingga mencecah RM6,000 sekilogram.
Katanya, produk berkenaan diperlukan dalam kuantiti yang banyak, sekitar dua tan sebulan bagi dieksport ke pasaran China melalui Guangzhou.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, sidang Dewan Undangan Negeri semalam bahawa tiada berlaku lambakan produk sarang burung di negeri ini.
"Sarang burung walit di Terengganu diakui berkualiti dan bersih oleh pembeli berbanding di negeri lain kerana ia bebas daripada sebarang percemaran udara," katanya ketika menjawab soalan lisan Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) pada persidangan DUN di Kuala Terengganu.
Namun katanya, kerajaan negeri tidak membenarkan atau meluluskan mana-mana permohonan sekiranya ada individu ingin mengusahakan ternakan itu di kawasan bandar.
"Mereka perlulah fikirkan lokasi yang sesuai. Kita terpaksa bertindak tegas bagi mengelak pelbagai kemungkinan berlaku termasuk, diserang penyakit, rungutan dan gangguan bunyi.
No comments:
Post a Comment