Friday, December 9, 2011

Terengganu Mungkin Adakan Perlawanan Liga M 2012 Pada Waktu Siang?

Pasukan bola sepak Terengganu mungkin akan mengadakan perlawanan pada waktu petang pada Liga Malaysia 2012 berikutan pencahayaan lampu limpah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tidak mencapai tahap yang dikehendaki.

Pengarah Pertandingan Liga Malaysia yang juga Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Ahmad Fuad Daud, berkata untuk perlawanan pada waktu malam, stadium itu memerlukan pencahayaan lampu limpah sekurang-kurangnya 1,200 lux.

"Kita dapati beberapa tempat pencahayaan lampu limpah di stadium itu di bawah 800 lux," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan di stadium itu, malam kelmarin

Turut hadir wakil Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pegawai Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Ahmad Fuad berkata, FAM memberi tempoh sehingga 21 Disember ini kepada Terengganu untuk meningkatkan kecahayaan lampu limpah jika ingin mengadakan perlawanan pada waktu malam.

Beliau berkata, buat masa ini stadium yang boleh diguna untuk pertandingan bola sepak pada waktu malam ialah Stadium Bukit Jalil, Stadium Darul Aman, Kedah, Stadium Utama Kangar, Perlis dan Stadium Olahraga Universiti Sains Malaysia (USM).

Dua lagi stadium yang sedang diperbaiki dan boleh digunakan untuk pertandingan waktu malam ialah Stadium Shah Alam dan Stadium Kuala Lumpur yang dijangka siap Mac 2012, katanya.

"Di stadium yang lain, perlawanan akan diadakan pada waktu siang," katanya.

Ahmad Fuad berkata, pertandingan waktu siang bagi Liga Malaysia akan bermula jam 4.45 petang manakala pertandingan peringkat kalah mati jam 4.15 petang.

Sementara itu, jurucakap MBKT berkata untuk meningkatkan tahap kecahayaan lampu limpah di stadium itu seperti yang dikehendaki FAM memerlukan peruntukan hampir RM3 juta

No comments:

Post a Comment