Sunday, December 4, 2011

Chef, Wartawan Perancis Teruja Kunjungi Terengganu

Toh Puan Rosita Abdullah, penulis buku masakan terkenal, Kulit Manis menunjukkan buku beliau ketika mengunjungi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, baru-baru ini.

Sekumpulan chef dan wartawan dari Perancis dibawa melawat Terengganu bagi mendedahkan kebudayaan, kehidupan serta makanan tradisional negeri Pantai Timur itu.

Eksekutif Pemasaran Tourism Malaysia di Paris, Perancis, Alina Maria Grotte berkata mereka terdiri daripada Chef Cyril Rouguet (gambar kanan) dan empat pengamal media dari negara itu, tiba di negara ini pada 26 Nov lepas.

"Ini kali pertama kumpulan ini berkunjung ke Terengganu dan mereka sangat mengagumi kehebatan dan keindahan negara ini," katanya ketika ditemui Bernama pada satu majlis demonstrasi masakan untuk kumpulan itu di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Demonstrasi masakan tradisional Terengganu itu dibuat Toh Puan Rosita Abdullah, penulis buku masakan terkenal, Kulit Manis yang memenangi pertandingan The Best In The World Local Cuisine Cookbooks 2010 pada Anugerah Gourmand Ke-16 di Paris.

Alina Maria berkata beliau mengambil inisiatif mempelawa kumpulan itu berkunjung ke Terengganu untuk memperkenalkan produk pelancongan yang ada di negeri itu.

Selain demonstrasi masakan, kumpulan itu diperkenalkan dengan gabungan adat dan kebudayaan di Terengganu, keindahan pantai serta corak hidup penduduk di sini.

Beliau berkata, idea untuk membawa mereka ke Terengganu bermula semasa berjumpa dengan Chef Rouguet pada pertandingan itu.

"Masa itu peserta dari Terengganu iaitu Rosita mengambil bahagian dalam pertandingan itu. Saya mempelawa Chef Rouguet ke Terengganu dan beliau mengajak beberapa wartawan yang ingin turut serta ke negeri ini," katanya.

Alina Maria berkata semasa di negeri ini, kumpulan itu dibawa melawat ke lokasi tarikan pelancongan seperti Taman Tamadun Islam (TTI), pasar besar Kedai Payang selain beramah mesra dengan penduduk tempatan.

Sementara itu Chef Rouguet berkata beliau teruja dapat menjejakkan kaki ke Terengganu dan melihat perbezaan gaya hidup di negeri ini berbanding negaranya.

"Saya amat mengagumi negara dan negeri ini (Terengganu). Sebelum ini saya belum diberi pendedahan sebegini. Saya seronok dapat merasai makanan tradisional dan melawat tempat menarik yang terdapat di sini.

"Saya akan datang lagi ke Malaysia, mungkin melawat negeri lain pula, dan akan beritahu rakan-rakan di Perancis yang negara ini sangat bagus untuk dilawati," katanya.

No comments:

Post a Comment