Selepas selesai Perhimpunan Agung Umno 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra, perwakilan Umno pulang ke kawasan masing-masing untuk menyampaikan perintah ketua supaya 'orang Umno' bersiapsiaga untuk pilihan raya umum ke-13.
Jika tidak, peringatan dan teguran Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hanya menjadi retorik jika intipati yang disampaikan tidak dijadikan bekalan dan panduan.
Sebenarnya tiada ramuan ajaib yang boleh dijadikan azimat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk meraih kemenangan cemerlang pada pilihan raya umum akan datang kecuali anggota parti bersatu, taat dan setia kepada parti serta sanggup berkorban jiwa raga bagi mempertahankan kuasa politik di negara ini.
Walaupun Perdana Menteri menyentuh pelbagai isu pada perhimpuan itu, membabitkan perjuangan Umno, isu yang paling dominan dan menarik perhatian ialah mengenai pilihan raya umum akan datang yang disifatkan paling getir dan menjadi ibu kepada segala pilihan raya.
Satu persediaan awal yang cukup penting ialah bersatu, tidak kira sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahu pun perhubungan negeri kerana kekuatan itu yang boleh memantapkan parti menghadapi apa juga cabaran.
Teguran Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri masih belum memantapkan pendekatan untuk memenangi hati pengundi muda wajar diberi perhatian serius seluruh jentera Umno dan BN.
Begitu juga dengan kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa perpecahan parti Melayu dan tsunami pilihan raya umum ke-12 pada 2008, belum mampu menarik kembali kepercayaan pengundi Melayu tidak harus dipandang sepi sebaliknya memerlukan tindakan segera jentera parti.
Apabila membicarakan soal "winnable candidate" atau calon boleh menang pada pilihan raya umum ke-13, tindakan berani bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh menawarkan diri untuk berundur daripada bertanding pada pilihan raya umum akan datang harus dicontohi wakil rakyat Umno dan BN yang lain.
Tawaran Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh itu, dilihat bukan kerana beliau tidak berminat untuk bertanding semula sebaliknya ia dilakukan bagi memudahkan Presiden Umno memilih calon terbaik bagi bertanding di kawasan berkenaan demi memastikan kemenangan BN.
Tindakan Idris itu juga sebenarnya bermaksud untuk berlaku adil kepada Perdana Menteri supaya beliau tidak perlu berasa serba salah dalam memilih calon.
Bahkan ia juga boleh mengelak berulangnya tindakan segelintir pemimpin dan anggota parti mengkhianati parti dan mensabotaj calon BN pada pilihan raya umum lepas sehingga menyebabkan tewas di empat buah negeri.
Selain itu, istilah orang Umno, yang banyak dikupas selepas ucapan dasar Presiden Khamis lepas sebenarnya perlu dihayati dengan bersungguh-sungguh dan bukannya hanya sekadar meniti dari mulut ke mulut.
Untuk menjadi orang Umno bukan sekadar menjadi anggota parti, dan seperti yang diberitahu anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Mohamed Ali Rustam iaitu untuk menjadi orang Umno, mereka sebenarnya sudah diingatkan selalu.
"Kalau dia orang Umno, apabila ada keramaian atau aktiviti yang dijalankan parti, mereka pasti hadir. Tapi ada yang menyatakan saya dah ahli parti tak payahlah hadir. Sikap ini mesti dikikis," katanya.
Mengenai perbahasan, ada pemerhati politik yang melihat perwakilan kurang menyengat, kurang tajam dan kurang sinis kerana mereka hanya berbahas mengenai parti sendiri dan hanya mengemukakan cadangan-cadangan untuk memperbaiki parti sendiri.
"Kutuk mengutuk parti lain tak lagi relevan pada saya. Ini politik baru tidak perlu lagi seperti ini, Ini politik lama. Pembahas Umno perlu berubah. Perbaiki parti," kata seorang editor sebuah akhbar harian yang ditemui di Laman Media Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini.
Perwakilan juga harus dipuji kerana tidak menyentuh isu-isu sensitif, yang boleh mencetuskan api kemarahan kaum lain, kerana mereka taat dengan arahan pucuk pimpinan parti supaya tidak berbuat demikian.
Teguran dilakukan secara berhemah seperti yang dilakukan perwakilan Pahang, memohon pemimpin atasan parti supaya tidak terjebak dengan kontroversi kerana sukar untuk mereka mempertahankannya di peringkat akar umbi.
Seakan menyedari ada perwakilan dan pemerhati politik yang menyifatkan ucapan dasarnya masih belum cukup untuk membangkitkan semangat, Najib menggunakan kesempatan menggulung perbahasan sebelum perhimpunan ditangguhkan untuk membakar dan menyuntik semangat baru anggota Umno dan BN turun "ke medan perang".
Najib merumuskan perhimpunan agung kali ini yang dihadiri 5,447, yang tertinggi berbanding tahun lepas, berjaya mencetuskan satu kebangkitan semangat baru yang menunjukkan pemulihan sepenuhnya Umno selepas pilihan raya umum lepas.
No comments:
Post a Comment