Wednesday, December 28, 2011

Cubaan Murtadkan Umat Islam Dipandang Serius - JHEAT

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memandang serius tindakan pihak tertentu yang cuba memesongkan akidah umat Islam di negeri ini dengan menjadikan golongan tertentu sebagai sasaran.

Pesuruhjaya JHEAT Mohd Rozali Saleh berkata antara golongan yang menjadi sasaran ialah orang miskin, golongan terbiar, remaja lepak dan pesakit di hospital.

"Hasil siasatan kita mendapati pihak terlibat kini aktif mencari sasaran dan cuba membawa keluar mereka dari agama Islam," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Kursus Pengenalan Bahasa Isyarat untuk penjawat awam di Kuala Terengganu semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata JHEAT mengambil beberapa langkah bagi menyelamatkan akidah umat Islam antaranya menganjurkan program yang boleh mendekatkan agensi tersebut dengan golongan belia bermasalah.

Mohd Rozali berkata pihaknya juga membuka sebuah pusat pemulihan di Batu Rakit untuk belia yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, selain melatih guru agama dan pendakwah sesuai dengan kumpulan sasaran.

Sementara itu, mengulas kursus yang dianjurkan, beliau berkata ia bertujuan mengeratkan ukhuwah antara golongan normal dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) agar mereka tidak berasa terpinggir atau tersisih, selain merapatkan hubungan komunikasi kedua-dua pihak.

Kursus dua hari itu disertai 120 penjawat awam di Terengganu.

No comments:

Post a Comment