Wednesday, December 28, 2011

Masalah Hutang - Pukul Rakan Guna Parang

Gara-gara memukul rakannya menggunakan sebilah parang ketika berbincang masalah hutang di sebuah kilang baja pada 15 September lalu, seorang penghidap HIV dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret, di Marang, semalam.

Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Amzul Jusoh, 39, dari Kampung Rhu Muda, yang mengaku bersalah mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan (KK) kerana menyebabkan kematian Hassan Harun, 37, menggunakan sebilah parang.

Terdahulu tertuduh memakai baju lokap berwarna merah dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadapnya atas alasan perlu menjaga ibunya yang uzur.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh terhadap Hassan di Sea Union Fishmill Sdn Bhd di Kampung Batangan, di sini, antara jam 2.30 hingga 3.30 pagi, 15 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 304(b) KK kerana membunuh tanpa niat yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohamad Nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama mangsa dan seorang lagi rakan pergi ke kawasan kilang berkenaan kira-kira jam 3 pagi untuk berbincang masalah hutang dengan seorang rakan mereka yang berada di situ.

Bagaimanapun, tertuduh yang ketika itu memegang sebilah parang tersalah memukul mangsa berikutan keadaan persekitaran gelap.

Akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan serius pada kepala.

No comments:

Post a Comment