Sunday, December 11, 2011

Dua Muka Baru Sertai Harimau Muda ke Australia

Skuad Bawah 22 tahun negara yang bertolak ke Sydney, Australia kelmarin menyaksikan penjaga gol Terengganu, Mohd. Shahril Saari dan pemain Harimau Muda B, Shahrul Mohd. Saad antara muka baru yang disenaraikan jurulatih, Ong Kim Swee.

Seperti dijangka, penyerang Kuala Lumpur, Ahmad Hazwan Bakri dan Nazirul Naim Che Hashim yang baru pulih daripada kecederaan turut disenaraikan selain pemain Felda United, S. Sivanesan.

Dua tonggak skuad Olimpik, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria dan Gary Steven Robbat terlepas peluang ke Australia akibat masih belum pulih daripada masalah kecederaan otot paha dan sedang menerima rawatan di Institut Sukan Negara (ISN).

Kim Swee dilihat masih mengekalkan ramai muka lama yang beraksi di Sukan SEA XXVI Indonesia dan kelayakan Sukan Olimpik 2012 termasuk Wan Zack Haikal Wan Noor yang masih belum cergas sepenuhnya selepas tiga bulan berehat ekoran kecederaan.

Ketika ditanya mengenai perkembangan Wan Zack, Kim Swee berkata, pemain yang berasal dari Maran, Pahang itu masih berusaha mendapatkan rentak sebenar.

''Dia masih belum berada di tahap terbaik ketika berdepan Syria dan Bahrain tempoh hari kerana dia sudah tidak lama bermain dalam sebarang perlawanan.

''Jadi, diharapkan perlawanan di Australia nanti mampu mengembalikan tahap keyakinannya di samping tahap kecergasannya," katanya ketika ditemui di majlis penyerahan insentif atlet Sukan SEA XXVI Indonesia oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Sports Toto di Wisma MOM, kelmarin.

Pemain tengah, Mohd. Irfan Fazail yang baru pulih daripada kecederaan juga berada dalam senarai 23 pemain manakala Kim Swee masih mempertaruhkan kepercayaan kepada Ahmad Fakri Saarani dan A. Thamil Arasu bagi mengemudi jentera serangan ketika berdepan Sydney FC (13 Disember), Central Coast Mariners (15 Disember) dan Newcastle Jets (19 Disember).

No comments:

Post a Comment