Monday, December 12, 2011

ECERDC Perluas Projek Empower ke Daerah Pahang, Terengganu & Kelantan

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan memperluas projek pembangunan modal insan dikenali Program Empower ke daerah-daerah lain di Pahang, Terengganu dan Kelantan tahun depan.

Pengurus Besar Bahagian Sosialnya, Zulkifli Yaakob berkata, perluasan projek itu sebagai tambahan kepada daerah sedia ada yang sedang dilaksanakan di Bentong, Lipis dan Temerloh di Pahang serta Jeli (Kelantan) dan Kemaman (Terengganu).

Menurutnya, program yang dilancarkan dua tahun lalu berjaya mengubah taraf hidup isi rumah keluarga miskin dan pendidikan bagi pelajar dianggap lemah dalam akademik.

''Penduduk terlibat dalam program Empower dapat menyesuaikan diri dan sama-sama terbabit dalam pembangunan kesan daripada limpahan yang dibawa oleh ECER.

''Sejak dilancarkan fasa pertama di Bentong dua tahun lalu, kini hampir 3,000 penduduk dan pelajar mendapatkan manfaat menerusi program ini dengan membabitkan daerah Temerloh, Lipis, Jeli dan Kemaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian program Empower Temerloh yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chua Boon Seong di Temerloh baru-baru ini.

Zulkifli berkata, program yang diperkenalkan di Bentong pada 2010 menunjukkan perkembangan positif apabila 480 usahawan berjaya dilahirkan selain memberi manfaat kepada penduduk.

Selain latihan kemahiran usahawan selama 15 bulan, katanya, program itu turut menawarkan tuisyen kepada pelajar sekolah rendah dan menengah bagi mempertingkatkan lagi prestasi akademik mereka.

Katanya, ECERDC bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan semata-mata tetapi turut berperanan melahirkan masyarakat seimbang daripada segi kemahiran dan pendidikan.

No comments:

Post a Comment