Monday, December 5, 2011

IKBN Cadang Wujud Pusat Latihan Golf di Kemaman Tahun Depan

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) bercadang mewujudkan dua lagi pusat latihan pengurusan padang golf tahu depan, yang berpotensi memberi pendapatan lumayan kepada belia yang menyertai latihan itu.

Timbalan Ketua Pengarah IKBN Zainuddin Yahya berkata pusat berkenaan akan dibina di Kemaman, Terengganu dan Alor Gajah, di Melaka.

"Kedua-dua pusat itu mampu melatih 60 peserta bagi satu-satu pengambilan yang diadakan dua kali setahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program gerbang kerjaya IKBN Bachok di Bachok, semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani (MoU) antara IKBN Bachok dengan pihak industri yang turut dihadiri Pengarah IKBN Bachok, Engku Aziz Engku Mat.

Zainuddin berkata pada masa ini, pusat itu hanya beroperasi iaitu di Bukit Kiara yang disertai 58 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata antara kurikulum yang diajar ialah penyelenggaran padang dan pengurusan yang menjanjikan pendapatan RM1,500 hingga RM2,000 sebulan tidak termasuk pelbagai elaun lain.

Terdahulu, dalam ucapannya, Zainuddin berkata IKBN mensasar 85 peratus peserta yang mengikuti latihan di 20 IKBN di seluruh negara memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan.

Pada masa ini, kira-kira 10,000 belia dan beliawanis mendapat latihan kemahiran automatif, penyediaan makanan dan bangunan di pusat-pusat IKBN.

No comments:

Post a Comment