Monday, December 12, 2011

JHEAT Terima Lebih 6,000 Permohonan Masuk Sekolah Agama

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) terpaksa membuat ujian saringan pelajar yang akan memasuki Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Agama kerajaan negeri tahun depan berikutan terlalu banyak permohonan diterima.

Penolong Pesuruhjaya Hal Ehwal Murid JHEAT Razak Jusoh berkata JHEAT menerima lebih 6,000 permohonan pelajar lepasan Ujian Pernilaian Rendah (UPSR) untuk belajar di 10 buah sekolah agama kerajaan negeri tahun depan.

"Permohonan yang kita terima itu melebihi 200 peratus berbanding dengan kekosongan tempat pelajar Tingkatan Satu di sekolah berkenaan hanya 1,525 tempat sahaja," katanya selepas majlis penutup Kem Imam Muda kelmarin.

Daripada jumlah itu, 125 murid yang memperoleh keputusan 5A akan ditempatkan di sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin Batu Buruk manakala selebihnya akan ditempatkan di sekolah-sekolah menengah agama yang lain.

Beliau berkata minat pelajar untuk menyambung pelajaran ke Tingkatan Satu sekolah menengah Agama kelolaan kerajaan negeri meningkat dari setahun ke setahun.

No comments:

Post a Comment