Monday, December 12, 2011

Kerajaan Terengganu Awasi Projek Udang Di Penarik

Kerajaan negeri sentiasa memantau projek ternakan udang di kawasan seluas 1,000 hektar di Penarik, Setiu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Asha'ari Idris yang memberitahu demikian berkata projek berkenaan dijadikan penanda aras bagi kerajaan negeri menerima syarikat lain yang ingin melabur dalam sektor sama di Terengganu.

Beliau berkata projek ternakan udang itu diusahakan Syarikat Blue Archipelago Berhad, syarikat sama yang mengendalikan ladang ternakan udang di Kerpan, Kedah.

"Prestasi syarikat ini penting diperhatikan kerana ada lagi pelabur luar yang mahu melabur dalam penternakan udang di sini. Kita kena lihat kejayaan syarikat yang sedia ada dahulu sebelum terima (pelaburan baru) yang lain," katanya.

Asha'ari berkata demikian pada Khamis ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2012 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said Isnin lepas.

Sementara itu, kerajaan negeri Terengganu akan menubuhkan 'Kota Batik' menerusi konsep 'factory outlet' atau keluaran kilang di Kompleks Usahawan Terengganu yang mula beroperasi tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Awang Tera berkata barangan berasaskan batik dan pengusaha batik akan ditempatkan di Kota Batik tersebut sebagai tarikan baru pelancongan.

Katanya, selain Kota Batik, kerajaan juga akan menempatkan peniaga peralatan berteknologi tinggi dan penjaja di lokasi sama di samping pawagam mini.

"Kompleks Usahawan Terengganu di Banggol Tuan ini dengan kos RM21 juta kini di peringkat akhir untuk disiapkan," katanya.

No comments:

Post a Comment