Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menerima gaji bulanan sehingga RM5,000 akan menerima rangsangan dalam simpanan persaraan mereka apabila kadar caruman berkanun bahagian majikan dinaikkan kepada 13 peratus berkuatkuasa Januari depan.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata kenaikan satu peratus daripada kadar semasa 12 peratus akan memberikan faedah kepada 5.3 juta rakyat Malaysia yang bekerja, 92 peratus daripadanya adalah ahli aktif KWSP.
"Bagaimanapun, caruman pekerja kekal pada kadar 11 peratus," katanya dalam kenyataan semalam.
Pekerja berumur 55 tahun dan ke atas yang menerima gaji tidak melebihi RM5,000 juga akan menikmati manfaat ini apabila majikan mereka diwajibkan mencarum 6.5 peratus atau tambahan 0.5 peratus daripada kadar semasa 6 peratus manakala pekerja terus mencarum pada kadar 5.5 peratus.
"Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan kenaikan caruman majikan untuk pekerja dalam kumpulan pendapatan ini semasa Ucapan Bajet 2012 sebagai langkah untuk menangani masalah ketidakcukupan pendapatan semasa bersara yang dihadapi pesara kini," katanya.
Kajian sebelum ini menunjukkan 70 peratus pesara akan menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun dari mula mereka bersara dan masalah ini akan bertambah serius kerana kadar inflasi semakin meningkat dan bertambahnya jangka hayat rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, katanya, KWSP menghargai tindakan segera kerajaan dalam menangani masalah ini kerana tambahan satu peratus caruman berserta dengan dividen tahunan akan meningkatkan lagi simpanan persaraan rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment