Salwiah Mohamad menunjukkan gambar Abdul Rahim yang terputus hubungan dengan keluarganya di Kuala Terengganu, semalam.
Selama 15 tahun, Salwiah Mohamad sangat teruja dengan kemesraan dan hubungan akrab bersama tiga lagi adiknya termasuk yang bongsu, Abdul Rahim.
Namun, kegembiraan itu tidak lama dan tanpa diduga, wanita itu mula dirundung malang bertimpa tatkala bapanya, Mohamad Nordin meninggal dunia akibat diserang angin ahmar sembilan tahun lalu.
Tidak cukup dengan itu, adik kesayangannya, Abdul Rahim pula akhirnya 'dilarikan' ibu kandungnya (isteri kedua Mohamad), seorang wanita Indonesia.
Berikutan peristiwa itu, nasib adiknya itu tidak diketahui sehingga ke saat ini, lantas menyebabkan Salwiah diselubungi kesedihan yang tidak berkesudahan.
Justeru, dia merayu kepada keluarga ibu kandung Abdul Rahim agar segera menghubunginya di Kampung Duyung Besar di Kuala Terengganu kerana mereka amat merinduinya.
"Lagipun kami nak beri bahagian dia iaitu duit pesaka arwah bapa berjumlah lebih RM40,000 dan wang ini adalah hasil duit pencen bapa untuk Abdul Rahim sebanyak RM300 sebulan," katanya ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.
Salwiah mengimbas kembali kisah sedih itu yang bermula sejurus selepas kematian bapanya yang sebelum itu telah mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita Indonesia sehingga melahirkan Abdul Rahim.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, ketika usia dua tahun, Abdul Rahim diserahkan untuk dijaga dan tinggal dengannya serta adik beradik lain sehingga dia berumur 15 tahun.
"Malangnya, selepas bapa meninggal dunia sembilan tahun lalu, Abdul Rahim yang ketika itu berumur 15 tahun telah diambil semula oleh ibu kandungnya.
"Sejak itu, tiada sebarang khabar berita daripadanya. Kami terputus hubungan sampai sekarang. Kami tak tahu sama ada dia masih hidup atau dah mati," katanya pilu.
Salwiah turut merayu sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai Abdul Rahim atau mengetahui di mana dia berada supaya segera menghubunginya menerusi 014-5168795.
No comments:
Post a Comment