Tuesday, December 27, 2011

PSM Pilih Pemain Baru Hadapi Saingan Siri Super ISTAF Di Palembang

Pemain Kelantan, Mohd. Syahfirul Nizam Zainal (depan) melibas bola ke arah gelanggang Selangor pada Liga Kebangsaan Super Siri PSM Sirkit 3 di Gimnasium 2, MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini. Terengganu menduduki tempat kedua dalam Sirkit itu.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan memilih muka baru mewakili negara melalui Piala Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail 21-24 Jan depan di Kuala Lumpur setelah kontrak pemain PSM tamat hujung tahun ini.

Setiausaha Agungnya Datuk Arshad Yahaya berkata bagaimanapun hanya enam daripada 15 pemain negara kekal bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi Siri Super 2 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di Palembang, 23-26 Feb depan.

"Kita akan mencari bakat baru yang dipilih dalam Piala Presiden nanti. Bagaimanapun baki pemain yang tidak dipilih ini dibenar untuk pulang mewakili negeri masing-masing.

"Malah mereka masih mempunyai peluang untuk kembali dipilih bersama pasukan negara bagi hadapi saingan Istaf di Palembang," katanya kepada pemberita selepas penyerahan hadiah kepada pasukan yang mengambil bahagian dalam Liga Siri Super PSM 2011 di Gimnasium 2 MSN di Kuala Lumpur.

Dalam liga tersebut, pasukan PSM menjadi juara keseluruhan dengan membawa pulang RM20,000 sementara pasukan Terengganu dan Kelantan masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Jelas Arshad, PSM telah meminta Majlis Sukan Negara (MSN) kekalkan enam pemain untuk menjadi tunjang disebalik pemilihan pemain baru bagi PSM memperbaiki reputasi dan prestasi yang pastinya akan mengambil masa.

Penyenaraian nama dibuat oleh Majlis Tertinggi PSM pada 17 Dis di mana pemain yang dikekalkan ialah Mohamad Fazil Mohd Asri, Tunku Noor Azwari Tunku Ishak, Hanafiah Dolah dan tunggak senior seperti Norshahruddin Mat Ghani, Farhan Adam dan Faizul Hairy Osman.

Keenam-enam pemain kini meneruskan latihan yang dikendalikan oleh ketua jurulatih negara, Jamaluddin Hassan bagi persediaan ke Palembang

Sebanyak 16 pasukan mengambil bahagian dalam liga ini dan hanya lapan pasukan yang terbaik akan ke liga Perdana Menteri yang dijangka hujung Februari depan.

No comments:

Post a Comment