Tuesday, December 20, 2011

Kondom Boleh Lindungi Wanita Daripada Jangkitan HIV

Kaum wanita perlu mempunyai kekuatan dalam merundingkan seks selamat supaya mereka boleh melindungi diri sendiri daripada dijangkiti sebarang jenis penyakit kelamin.

Presiden Majlis AIDS Malaysia Tan Sri Mohd Zaman Khan berkata antara pendekatan yang paling berkesan ialah menggunakan kondom semasa melakukan hubungan intim terutama di kalangan mereka yang mempunyai pasangan menghidap HIV positif.

"Adalah penting untuk setiap pasangan membuat ujian selain penggunaan kondom supaya peningkatan kes melalui transmisi seksual mampu dikurang," katanya pada majlis perasmian Seminar Memperkasakan Wanita Menangani HIV/AIDS di Kuala Terengganu, semalam.

Selain itu beliau juga mengingatkan pasangan yang telah berkahwin supaya menjaga tatasusila dan mengikut landasan agama dalam amalan hidup mereka untuk mengelak sebarang risiko jangkitan HIV/AIDS akibat pergaulan bebas.

Menurut sumber Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga akhir tahun 2010 seramai 91,362 orang dilaporkan dijangkiti HIV semenjak kes pertama dilaporkan pada tahun 1986 di Malaysia, katanya.

Daripada jumlah itu seramai 16,532 orang telah mengalami fasa AIDS dan seramai 14,298 orang telah meninggal dunia.

"Perubahan ini membawa implikasi yang sangat besar dalam usaha kita untuk membendung epidemik HIV dan AIDS kerana ia meletakkan kaum wanita sebagai kumpulan sasaran yang terdedah kepada risiko HIV dan AIDS," katanya.

Kata Zaman sebagai bukti terdapat peningkatan sebanyak tiga kali ganda bilangan wanita-wanita yang dijangkiti HIV semenjak 10 tahun yang lepas.

Nisbah jangkitan baru HIV di kalangan wanita adalah semakin meningkat dari 1.2 peratus pada tahun 1990 ke 9.4 peratus pada tahun 2000 dan kepada 18.3 peratus pada tahun lepas, katanya.

Sementara itu, seramai 100 orang peserta wanita dan remaja perempuan turut serta dalam seminar yang bertema 'Memperkasakan Wanita Menangani HIV/AIDS' sempena sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat negeri Terengganu.

No comments:

Post a Comment