Kos RM2 bilion bagi penstrukturan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dilihat terlalu tinggi dalam keadaan ekonomi masa kini yang tidak menentu.
Eksekutif Kanan Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Medecci Lineil berkata, kerajaan dan penjawat awam seharusnya mencari jalan untuk mengurangkan perbelanjaan dan bukan mencipta beban baru dalam perbelanjaan negara.
Katanya, perbelanjaan negara sebenarnya ditanggung oleh rakyat dan bukanlah keluar dari duit poket pembuat dasar di Putrajaya.
"Penstrukturan semula skim ini akan memberi kesan kepada keseluruhan aspek ekonomi, seperti pergerakan buruh dan modal, pendidikan, kadar inflasi, kitaran perniagaan dan juga kadar gaji dan upah di sektor swasta.
Maka jika kerajaan masih berpegang dengan matlamat Model Ekonomi Baru (NEM) yang mahu menjadikan sektor swasta sebagai pemacu ekonomi negara, penstrukturan semula sistem saraan penjawat awam mestilah tidak menjejaskan pertumbuhan sektor swasta," katanya dalam kenyataan media semalam.
Medecci berkata, apa-apa perubahan dalam skim saraan penjawat awam haruslah melambangkan semangat liberalisasi ekonomi yang ada dalam NEM.
Justeru, SBPA seharusnya bermatlamat untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang benar-benar sesuai dengan suasana ekonomi yang semakin liberal dan kompleks.
Tambahnya, kekayaan negara dijana oleh sektor swasta manakala sektor awam pula membelanjakan kekayaan tersebut.
Malah, pendapatan sektor awam adalah diambil daripada kekayaan yang dijana oleh sektor swasta untuk dibelanjakan.
Jelasnya, sejak bermulanya Dasar Ekonomi Baru, hampir semua semakan sistem saraan penjawat awam berakhir dengan kenaikan gaji dan elaun.
Bagaimanapun, beliau turut mempersoalkan adakah produktiviti dan mutu kerja penjawat awam turut sama meningkat dengan pendapatan mereka? Katanya, kenaikan gaji dan upah perlu berdasarkan kepada produktiviti dan merit.
"Apa-apa semakan terhadap skim saraan penjawat awam mestilah memberikan lebih banyak ruang sektor swasta untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan rakyat. Saya juga kecewa apabila kerajaan tidak bertegas dengan ‘exit policy’ yang dicadangkan. Sukar dipercayai bahawa tidak ada cara mudah untuk menghentikan penjawat awam yang gagal menunjukkan prestasi memuaskan.
Dalam sektor swasta, majikan boleh memberi notis beberapa bulan sahaja untuk menghentikan pekerja yang tidak bagus. Tetapi mana logiknya jika mereka yang gajinya dibayar oleh rakyat boleh kekal sehingga bertahun-tahun walaupun mereka jelas lemah?"
Adakah wang rakyat begitu murah dan boleh dipermainkan sebegitu sekali oleh para penjawat awam yang gagal?," soalnya
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment