Lebih 15,000 rakyat dijangka menyambut keberangkatan balik Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah ke negeri ini hari ini.
Keberangkatan balik baginda itu setelah mengakhiri tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Segenap lapisan lapisan rakyat termasuk kakitangan awam, warga institusi pengajian tinggi dan pelajar berada di sepanjang jalan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) hingga Istana Maziah di Kuala Terengganu sejauh 16.2 kilometer.
Ketibaan di LTSM kira-kira pukul 2 petang akan disambut kerabat diraja dan pembesar negeri diketuai Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah.
Penolong Setiausaha Kerajaan (Bahagian Pengurusan Majlis dan Protokol), Mohd. Zahari Jannah berkata, sebaik tiba di LTSM, aturcara sambutan keberangkatan balik baginda berlangsung tiga hari iaitu pada hari ini, Rabu dan Jumaat ini.
"Esok (hari ini), selepas tiba di LTSM, baginda berdua akan ke Istana Maziah untuk majlis Santapan Petang yang dijangka dihadiri kira-kira 300 tetamu sebelum berangkat pulang ke Istana Nur Nadirah," katanya semalam.
Mohd. Zahari berkata, untuk aturcara Rabu ini, baginda berdua berangkat ke Istiadat Penghadapan di Istana Maziah dan Jumaat, baginda berangkat merasmikan Masjid Sultan Ismail di Cendering.
No comments:
Post a Comment