Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, YB Datuk Za’abar Mohd Adib memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri semalam, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang kini membabitkan kos RM2.36 billion dijangka siap akhir 2014.
Katanya, kos LPT itu jauh bezanya berbanding LPT fasa 1 kerana ia membabitkan 17 pakej dan setiap pakej melibatkan kontraktor berlainan.
“Di antara pakej-pakej ini ada yang sudah siap sepenuhnya, termasuk pakej 10, 11 dan 12 iaitu Persimpangan Bukit Besi – Ajil sejauh 42.4 kilometer, Telemong –Bukit Payong (10.6 kilometer) dan Bukit Payong – Gemuroh (16.3 kilometer).
“Kerajaan negeri mewujudkan banyak pakej kerana pada asalnya ingin memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera tempatan Terengganu bagi menjalankan kerja-kerja ini.
“Kita sebagai pihak yang bertanggungjawab sudah berusaha membantu kontraktor yang dikatakan lemah ini, tetapi mereka tetap gagal menyiapkannya,” katanya ketika menjawab pertanyaan Haji Wan Hassan Mohd Ramli (Pas- Sura).
Menurutnya, rata-rata kontraktor mendakwa projek itu tidak dapat disiapkan kerana disebabkan beberapa faktor iaitu kemendapan tanah, kenaikan harga barang dan kecurian kabel elektrik.
“Disebabkan tidak mahu terus menanggung kerugian dan kelewatan, kerajaan negeri terpaksa menamatkan enam tender yang telah diagihkan kepada enam syarikat.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri melantik segera kesemua tender yang ditamatkan itu. Empat daripada pakej tersebut dimulakan pembinaannya sejak April lalu, satu pakej mula bulan Mei dan satu pakej Julai,” katanya.
Teganukita
No comments:
Post a Comment