Kesibukan bergelar mahasiswa yang sentiasa sibuk bergelumang dengan buku dan aktiviti kadang kala membantutkan mereka untuk melakukan aktiviti sendiri.
Bagaimanapun, ia berbeza dengan sepasukan mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu yang menggelari diri mereka sebagai ‘Skuad Wartawan Samudera UMT’.
Menariknya, pasukan ini ialah tenaga penggerak bagi akhbar Samudera, yang menjadi nadi dan suara bagi mahasiswa universiti itu sejak lebih setahun yang lalu.
Berbeza dengan universiti lain, akhbar bulanan itu dipercayai merupakan satu-satunya akhbar yang dikendalikan oleh mahasiswa sendiri dan sangat aktif, terutamanya dalam mengutarakan masalah, aktiviti mahupun suara mahasiswa UMT.
Exco Penerbitan, Penerangan dan Publisiti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT, Aliashim Albani berkata, inisiatif untuk menerbitkan akhbar itu sebenarnya bermula sejak 2009 lagi.
Bagaimanapun, ketika itu akhbar Samudera tidaklah seaktif mana dan apabila jawatankuasa MPP UMT baru dibentuk, ia mula diaktifkan kembali.
Bermula sejak itu, Exco Penerbitan, Penerangan dan Publisiti dilantik secara automatik untuk menjadi Ketua Jawatankuasa Media bagi Samudera dan Aliashim dipertanggungjawabkan untuk menggerakkan akhbar yang menjadi suara mahasiswa UMT itu.
Bagaimanapun, cabarannya agak getir kerana memerlukan sekumpulan mahasiswa yang aktif dan bersedia untuk memberikan komitmen sepenuhnya bagi membolehkan akhbar itu diaktifkan kembali.
Menurut Aliashim, dia terpaksa merombak kembali jawatankuasa Samudera yang sedia ada manakala jawatankuasa lama yang bersedia untuk memikul amanah untuk terus bersama Samudera, akan menjadi mentor dan menjadi redaksi kanan yang mengetuai akhbar itu.
“Kita kemudiannya mengeluarkan iklan untuk merekrut wartawan daripada kalangan mahasiswa kita sendiri. Pada mulanya, saya rasa agak bimbang akan sambu-tannya tetapi apa yang mengejutkan, kira-kira 250 mahasiswa yang datang untuk temuduga.
“Pada ketika itu, saya sudah dapat rasakan aura Samudera itu sendiri, tetapi kita perlu selektif dan akhirnya kita memilih 27 wartawan yang akan menjadi jentera kita dalam menyalurkan suara mahasiswa UMT,” katanya yang kini dalam tahun kedua, Master Teknologi Alam Sekitar (Tenaga Angin) di UMT.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment