Terengganu Cycling Team (TSG) bercadang menggunakan khidmat pelumba basikal dari Eropah tahun depan.
Pengurusnya Ahmad Kamarul Idrus berkata sekarang ini TSG sedang mengintai pelumba-pelumba dari Amerika Selatan khususnya Colombia untuk memperkuatkan pasukan TSG.
"Ia sebagai persiapan kerana tahun depan kita mungkin akan menyertai kejohanan lumba basikal jemputan di Eropah," katanya kelmarin.
Beliau berkata TSG mungkin akan mengambil dua atau tiga orang pelumba dari benua Eropah terutamanya pelumba-pelumba yang pakar dalam kategori mendaki bukit.
"Sebab kita tidak ada pendaki bukit untuk disesuaikan dengan kejohanan di sana," katanya.
Ahmad Kamarul berkata setakat ini TSG telah mengenalpasti beberapa pelumba dari Eropah dan akan mengkaji sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Dalam pada itu, TSG mungkin akan mengekalkan setahun lagi pelumba-pelumba import dari Asia yang menyertai pasukan itu tahun ini.
Pelumba berkenaan ialah Shinichi Fukushima, Motoi Nara dari Jepun dan Chan Jang Jae, Kim do Hyoung, Korea Selatan.
Beliau berkata perlumbaan di benua Asia pada tahun depan akan bermula dengan Le Tour de Langkawi (LTdL) mulai 24 Feb hingga 4 Mac.
No comments:
Post a Comment