Wednesday, December 21, 2011

Maidam Sasar Pungut Zakat Rm90 Juta Tahun Depan

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terenganu (Maidam) mensasarkan kutipan zakat tahun depan meningkat kepada RM90 juta berbanding sasaran tahun ini sebanyak RM85 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harunjan Sulaiman berkata sehingga kini Maidam berjaya memungut RM76.8 juta, mengatasi kutipan keseluruhan tahun lepas berjumlah RM76.4 juta.

"Kita yakin sasaran pungutan RM85 juta tahun ini boleh dicapai kerana kita masih ada sedikit masa lagi sehingga 31 Dis ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penerimaan wang zakat perniagaan daripada Public Bank Terengganu berjumlah RM15,000 melalui Pengurusnya Wan Hazmanor Wan Harun di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, kutipan tertinggi yang diperolehi Maidam tahun ini ialah dari zakat pendapatan sebanyak RM28,176,223.01 diikuti zakat perniagaan (RM22,451,992.81) dan zakat wang simpanan (RM15,803,081.39).

Katanya, mengikut pecahan, daerah Kuala Terengganu adalah penyumbang terbesar pungutan zakat tahun ini iaitu RM51,653,614.73, diikuti daerah Kemaman (RM13,086,746.71), Dungun (RM3,945,600.25), Besut (RM3,876,333.49), Hulu Terengganu (RM1,892,469.66), Marang (1,597,069.53) dan Setiu (RM784,005.86).

Beliau berkata, tahun ini Maidam akan mengagihkan wang zakat sebanyak RM80 juta kepada lapan Asnaf sebagaimana yang diperuntukkan hukum syarak. Sehingga ini sebanyak RM58.1 juta telah diagihkan.

Katanya, mulai Jumaat ini hingga 30 Dis, kaunter pungutan zakat Maidam akan dibuka setiap hari mulai 8.30 pagi hingga 4.30 petang manakala pada 31 Dis ia dibuka pada 8.15 pagi hingga 7 malam bagi memudahkan orang ramai membuat bayaran.

Sementara itu mulai Jan depan, Maidam akan melancarkan kaunter zakat bergerak bagi memudahkan orang ramai mengeluarkan zakat.

Katanya, syarikat atau kumpulan yang ramai hendak mengeluarkan zakat boleh membuat tempahan dengan Maidam untuk mendapatkan kaunter zakat bergerak.

No comments:

Post a Comment