Wednesday, December 21, 2011

Peyatim Sasar Jualan Rm380 Juta Daripada Skim Wakaf Tanah

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) menyasarkan jualan berjumlah RM380 juta daripada Skim Tanah Wakaf Pendidikan Anak Yatim/Miskin dalam lima tahun akan datang.

Presiden Peyatim Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor berkata tanah seluas 128 hektar di Mukim Tasik, Setiu, Terengganu itu mula dijual dan diwakafkan dengan kadar RM300 bagi setiap meter persegi mulai Disember tahun lepas.

"Kini, kita telah mendapat lebih RM1 juta daripada derma wakaf," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman antara Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Peyatim di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Turut hadir menyaksikan penandatanganan MoU antara Pengarah Urusan Datuk Zabidah Ismail yang mewakili AIM dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ismail Said bagi pihak Peyatim ialah Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Perjanjian kerjasama Peyatim dan AIM itu akan menggalakkan penyertaan daripada warga AIM di dalam Skim Derma Tanah Wakaf Pendidikan Anak Yatim/Miskin dan memberi kemudahan kepada warga AIM menyalurkan sumbangan secara sistematik.

Kerjasama ini juga menggalakkan pembangunan pendidikan berterusan kepada golongan sasar di samping memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan wakaf dan sumbangannya terhadap pembangunan ekonomi umat Islam.

Skim Derma Wakaf Pendidikan ini dapat membantu anak-anak yatim dan miskin melanjutkan pelajaran sama ada dalam bidang akademik ataupun kemahiran di Kolej Teknologi Bestari (KTB) dan Institut Kemahiran Bestari (IKB) yang ditubuhkan di bawah Peyatim. Skim ini turut membantu membangunkan infrastruktur di KTB dan IKB.

Pengerusi Lembaga AIM Datuk Amihamzah Ahmad berkata AIM menyasarkan kira-kira 40 peratus daripada 300,000 Sahabat untuk terlibat dalam Program Derma Tanah Wakaf Pendidikan Anak Yatim/Miskin Malaysia menjelang hujung tahun 2012.

Kini, terdapat 789 anak-anak Sahabat AIM menyambung pengajian di Kolej Teknologi Bestari yang menawarkan kursus di peringkat sijil, diploma dan ijazah dalam berbagai displin ilmu.

Sementara itu, Ahmad Husni berkata Program Wakaf merupakan satu pencetus perubahan dalam pembangunan ekonomi negara.

"Melalui program ini, Peyatim dan AIM merupakan rakan kongsi kerajaan untuk mengangkat anak-anak yatim dan miskin agar mereka berpeluang melanjutkan pelajaran dan menikmati pembangunan yang dilakukan kerajaan," katanya.

No comments:

Post a Comment