Sunday, December 4, 2011

Maritim Malaysia Selamatkan 2 Penyelam dari Terengganu Hanyut Tujuh Jam


Kakitangan Maritim Malaysia membantu salah seorang daripada dua penyelam bebas yang ditemui terapung selepas hanyut dibawa arus di perairan Tanjung Piai, Pontian, kelmarin.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan dua penyelam lelaki yang dihanyutkan arus deras selama tujuh jam ketika menjalankan kegiatan menyelam di perairan Tanjung Piai di Pontian kelmarin.

Kedua-dua mereka, Azman Ali, 32, dan Khairulniza Mohamad, 31, dikatakan menyelam pada pukul 10.45 pagi sebelum dihanyutkan arus deras dan tidak timbul selepas 30 minit.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Wan Razani Wan Ibrahim berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakan mangsa yang membuat laporan pada pukul 4.45 petang di Balai Polis Permas sebelum melaporkan kes itu kepada pihak Maritim Malaysia.

"Mangsa bersama empat rakannya tiba di Tanjung Piai sehari sebelum kejadian dan mendapatkan khidmat nelayan tempatan untuk menyelam di kawasan berkenaan.

"Dipercayai kerja menyelam itu dilakukan di kawasan pernah berlaku kejadian kapal tenggelam suatu ketika dulu. Sebaik sahaja tidak timbul kira-kira 30 minit selepas menyelam, usaha mencari dilakukan tetapi gagal," katanya ketika dihubungi di Pontian.

Tambah Wan Razani, pihaknya dimaklumkan kedua-dua mereka merupakan penyelam bebas dari sebuah syarikat swasta yang beribu pejabat di Terengganu.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Malaysia Johor Bahru, Kapten Maritim Mohd. Sabri Mohamed berkata, kedua-dua mereka ditemui kira-kira 3.4 batu nautika di barat daya Tanjung Piai selepas dipercayai menyelam untuk mencari dan mengambil gambar kapal karam.

"Pihak kami menerima maklumat tentang kehilangan dua penyelam di perairan berkenaan pada pukul 1.30 petang. Sebuah bot Kilat 18 dengan empat anggota dikerahkan ke tempat kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

"Bot Kilat 18 tiba di lokasi kira-kira 4.30 petang dan membuat pencarian di sekitar kawasan tersebut sebelum mendapat maklumat dari sebuah kapal dagang yang terlihat dua orang terapung di perairan berkenaan.

"Anggota kita kemudian menyelamatkan dua penyelam tersebut dengan menaikkan mereka ke atas bot dan membawa balik ke jeti Jabatan Laut Pantai Lido, Johor Bahru untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan di Pontian.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment