Sunday, December 25, 2011

Pegawai Konfederasi Bolasepak Asia Tinjau SSINS Februari Depan

Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yakin Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) akan lulus pemeriksaan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang dijadual Februari depan.

Naib Yang Dipertuanya Sheikh Tajudin Sheikh Yusoff berkata beberapa penambahbaikan sedang dibuat di SSINS, sebagai persediaan Terengganu menerima pasukan pelawat pada pertandingan Piala AFC kelak.

"Tidak ada masalah, cuma daripada segi pencahayaan lampu limpah...saya percaya pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu selaku pemilik akan buat sesuatu bagi menjaga imej negeri," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya kemudahan di SSINS seperti bilik persalinan pemain dan bilik mesyuarat juga menepati kriteria AFC.

Beliau juga berkata kejayaan Terengganu menempah tempat dalam kejohanan Piala AFC buat pertama kali amat bermakna kepada perkembangan bola sepak tanah air.

Dalam pada itu, Sheikh Tajudin berkata Terengganu sedang mencari pemain import ketiga bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi Piala AFC yang dijadual berlangsung pada Mac depan.

Sehubungan itu katanya, skuad Penyu akan menguji beberapa pemain, kebanyakannya dari Brazil dan Ghana, minggu depan.

"Kita jangka kalau semuanya berjalan lancar, dalam masa tiga atau empat hari habislah ujian tersebut. Tarikh akhir pendaftaran AFC ialah pada 6 Feb 2012," katanya.

Terengganu pada masa ini memiliki pemain import dari Brazil dan Gambia.

No comments:

Post a Comment